PUTRAJAYA 13 Ogos – Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk mengadakan prosiding inkues bagi menentukan punca dan keadaan kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir.
AGC memaklumkan keputusan tersebut dibuat selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kematian pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha itu pada 12 Ogos lalu.
Menurut AGC, prosiding inkues itu bertujuan mengenal pasti punca kematian dan menentukan sama ada terdapat unsur jenayah yang terlibat.
“Proses ini akan dijalankan di Mahkamah Koroner secara bebas dan telus mengikut peruntukan undang-undang,” kata AGC dalam kenyataan hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Pegawai penyiasat kes Zara Qairina tidak ikut SOP, tindakan tegas akan diambil - Pengarah JSJ
AGC menjelaskan, keputusan mengadakan inkues adalah selaras dengan subseksyen 339(1) Kanun Prosedur Jenayah [Akta 593].
Pada 8 Ogos lalu, AGC mengarahkan kubur Zara Qairina perlu digali semula bagi membolehkan bedah siasat dijalankan.
AGC berkata, siasatan lanjut oleh pihak polis adalah perlu bagi memastikan penyiasatan dilakukan secara menyeluruh.
Susulan itu, jenazah remaja berusia 13 tahun itu, yang sebelum ini dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang, Sabah, telah digali semula pada 9 Ogos dan dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat sebelum dikebumikan semula pada awal pagi Isnin di tanah perkuburan yang sama.
Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai lalu selepas dibawa ke hospital berkenaan apabila ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada kira-kira jam 4 pagi, 16 Julai. - DagangNews.com








