KUALA LUMPUR 23 Okt – Seorang pegawai bank sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Khamis atas 104 pertuduhan menerima rasuah berjumlah keseluruhan RM398,100 berkaitan permohonan pinjaman peribadi yang melebihi had kelayakan pelanggan.
Tertuduh, Zayme Zanee Othman, 43, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Zayme yang merupakan Ketua Unit Pembiayaan di cawangan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) Serdang Raya, didakwa menerima rasuah melalui pindahan dalam talian ke akaun syarikat milik isterinya daripada akaun milik Mohd Farid Aswad Adzahar dan Fass Marketing Consultant.
Bayaran tersebut didakwa sebagai balasan untuk memproses permohonan pinjaman peribadi pelanggan yang memiliki beberapa pinjaman melebihi had kelayakan yang dibenarkan di pelbagai institusi kewangan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di cawangan Bank Islam Malaysia Bhd Bandar Baru Bangi antara 19 November 2020 dan 4 Oktober 2024, mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.
Pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM150,000 dengan seorang penjamin, tertakluk kepada syarat menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri secara berkala kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta tidak menghubungi mana-mana saksi pendakwaan.
Peguam bela tertuduh memohon pengurangan jaminan dengan alasan anak guamnya memberikan kerjasama sepenuhnya dan mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga.
Hakim kemudian membenarkan jaminan dikurangkan kepada RM70,000 dengan seorang penjamin serta mengekalkan semua syarat tambahan yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan. Mahkamah menetapkan 17 Disember ini untuk sebutan semula kes.
Pada 16 Oktober lalu, Zayme turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM12,600 daripada Mohd Farid Aswad melalui pindahan dalam talian. - BERNAMA








