KUALA LUMPUR 5 Mei – Digital Nasional Berhad (DNB) mempercepatkan peluasan liputan 5G dalam bangunan melalui pelaksanaan In-Building Solutions (IBS) di premis komersial utama negara dengan Pavilion Kuala Lumpur menjadi lokasi terbaharu menerima pengaktifan tersebut.
Pengaktifan IBS di Pavilion Kuala Lumpur membolehkan pengguna rangkaian CelcomDigi, Maxis dan Yes menikmati sambungan 5G yang lebih stabil, konsisten dan berkelajuan tinggi di seluruh kawasan pusat beli-belah itu termasuk ketika waktu puncak.
Menurut DNB, pelaksanaan IBS ini bertujuan mengukuhkan pengalaman 5G dengan memastikan kualiti rangkaian bukan sahaja mantap di luar bangunan, tetapi turut kekal optimum di ruang dalaman yang mempunyai kepadatan pengguna tinggi.
“Liputan 5G luar bangunan ketika ini telah melebihi 80 peratus kawasan berpenduduk di negara ini dan diperluaskan secara agresif ke dalam bangunan melalui kerjasama dengan pemilik premis, pemegang saham serta rakan strategik industri.
“Setakat ini, sebanyak 72 lokasi utama telah dilengkapi dengan IBS termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), KLIA2, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, KL Sentral, Setia Spice Arena, KOMTAR, Hospital Kuala Lumpur (IJN), Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) serta Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh negara.
“Pelaksanaan 5G dalam bangunan ini memberi manfaat kepada pengguna melalui pengalaman digital yang lebih lancar seperti transaksi pembayaran mudah alih tanpa gangguan, aplikasi realiti terimbuh (AR) dalam sektor peruncitan serta sambungan stabil di kawasan sesak,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain pengguna, teknologi ini turut menjadi pemacu transformasi digital perniagaan melalui penggunaan Internet Benda (IoT), automasi berskala besar, sistem pintar serta penyelesaian berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang menyokong peningkatan produktiviti dalam sektor seperti peruncitan, logistik, penjagaan kesihatan, pembuatan dan bangunan pintar.
Sebagai penyedia rangkaian 5G borong utama negara, DNB kini mengendalikan lebih 80 peratus trafik 5G Malaysia dan turut menerima pengiktirafan antarabangsa daripada platform seperti Ookla, OpenSignal, Glotel, FutureNet dan TM Forum atas prestasi rangkaian.
Ketua Pegawai Eksekutif DNB, Datuk Azman Ismail berkata pengaktifan 5G dalam bangunan di Pavilion Kuala Lumpur adalah satu lagi pencapaian penting dalam memastikan rakyat Malaysia menikmati pengalaman 5G yang benar-benar lancar di mana sahaja mereka berada.
“Kerjasama dengan rakan pengendali rangkaian mudah alih, penyedia infrastruktur serta pemilik bangunan menjadi faktor utama kejayaan pelaksanaan IBS, selain sokongan berterusan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC),” katanya.
Dalam masa yang sama, MCMC memainkan peranan penting melalui peruntukan spektrum dan rangka kerja kawal selia yang membolehkan prestasi rangkaian 5G terus dioptimumkan di seluruh negara.
Dari sudut ekonomi, pelaksanaan 5G oleh DNB dijangka menyumbang impak KDNK sekitar RM150 bilion serta mewujudkan kira-kira 750,000 pekerjaan berkemahiran tinggi menjelang tahun 2030, sekali gus memperkukuh pertumbuhan ekonomi digital negara.
DNB menyasarkan peluasan IBS akan diteruskan secara berperingkat ke lebih banyak lokasi komersial utama di seluruh negara bagi memastikan pengalaman 5G dalam bangunan setanding dengan liputan luar, selaras dengan usaha mempercepat transformasi digital Malaysia.- DagangNews.com








