Pasir Puteh muncul sebagai hab logistik ECRL Kelantan dengan 46 projek RM207.2 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pasir Puteh muncul sebagai hab logistik ECRL Kelantan dengan 46 projek RM207.2 juta

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 13 Julai – Pasir Puteh bakal diberi nafas baharu sebagai pusat logistik dan industri hiliran Kelantan menerusi 46 projek pembangunan bernilai RM207.2 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), susulan potensi strategik kawasan itu berhampiran jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

 

Antara projek utama yang diluluskan ialah kerja pengendalian tanah serta pembangunan infrastruktur kawasan industri hiliran berhampiran Stesen ECRL Pasir Puteh bagi menyokong aktiviti ekonomi berasaskan logistik dan kargo.

 

Kemudahan ECRL dijangka memainkan peranan penting dalam memperkukuh jaringan pengangkutan di Pantai Timur, bukan sahaja bagi pergerakan penumpang tetapi juga sebagai pemudah cara kepada aktiviti perdagangan serta rantaian bekalan industri.

 

Kedudukan Stesen ECRL Pasir Puteh yang terletak berhampiran Pangkalan Bekalan Tok Bali memberikan kelebihan kepada kawasan itu untuk dibangunkan sebagai lokasi strategik bagi sektor logistik, industri sokongan serta aktiviti hiliran berkaitan.

 

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, pembangunan sekitar Stesen ECRL Pasir Puteh dirancang secara menyeluruh menerusi Pelan Induk Bersepadu Guna Tanah Laluan Rel Pantai Timur (PGTA-ECRL).

 

Beliau berkata, pelan tersebut mengenal pasti Stesen ECRL Pasir Puteh sebagai salah satu lokasi yang berpotensi menjadi hab penumpang selain hab kargo dan logistik bagi menyokong pertumbuhan ekonomi kawasan sekitarnya.

 

Menurutnya, gabungan kemudahan rel dengan kedudukan berhampiran Tok Bali mampu meningkatkan daya saing Pasir Puteh sebagai pusat ekonomi baharu, selain berpotensi menarik pelaburan serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan.

 

t
Stesen ECRL Pasir Puteh

 

"Sinergi antara kemudahan rel dan pelabuhan ini berpotensi menarik lebih banyak pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan serta memperkukuh pertumbuhan ekonomi setempat," katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) mengenai kesediaan kerajaan menyokong usaha Kerajaan Negeri Kelantan membangunkan ekonomi hiliran di kawasan sekitar Stesen ECRL Pasir Puteh.

 

Mohd Shahar berkata, pelaksanaan pembangunan di bawah RMK-13 mengambil kira kekuatan serta potensi ekonomi setiap kawasan bagi memastikan peruntukan yang disalurkan memberi manfaat maksimum.

 

Katanya, kerajaan tidak hanya menilai pembangunan berdasarkan jumlah projek semata-mata, sebaliknya memberi perhatian kepada sektor yang mampu menjadi pemacu utama ekonomi sesebuah kawasan.

 

"Jika kekuatan sesuatu kawasan itu adalah logistik, kita akan memberi tumpuan kepada sektor logistik. Jika berkaitan pelancongan, maka infrastruktur pelancongan akan diberi keutamaan," katanya.

 

Beliau berkata, kesemua projek di bawah RMK-13 akan mula dilaksanakan tahun ini dan dijangka siap secara berperingkat sehingga 2030, manakala kemajuan pelaksanaannya akan dipantau menerusi sistem MyRMK sebelum dilaporkan kepada Dewan Rakyat. - DagangNews.com