Trive Property peroleh hasil RM13 juta bagi FY26, disokong sektor pelaburan hartanah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Trive Property peroleh hasil RM13 juta bagi FY26, disokong sektor pelaburan hartanah

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 13 JulaiTrive Property Group Berhad mencatatkan hasil berjumlah RM13.08 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2026, dengan disokong utama daripada sektor pelaburan hartanah.

 

Pencapaian tersebut dimaklumkan melalui notis ralat Laporan Tahunan 2026 kepada Bursa Malaysia bagi membetulkan maklumat pada muka surat 79 dan 137 dalam laporan asal yang diterbitkan sebelum ini.

 

Jelasnya, langkah pembetulan tersebut dilaksanakan bagi memastikan penyata kewangan kumpulan berkenaan memberikan gambaran yang sebenar dan saksama serta bebas daripada salah nyata material.

 

"Bagi tempoh kewangan 18 bulan tersebut dari 1 Ogos 2024 hingga 31 Januari 2026, Trive Property berjaya meraih keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM1.15 juta," maklum syarikat kepada bursa.

 

Ujar kumpulan tersebut, sektor pelaburan hartanah menyumbang pendapatan tertinggi iaitu mencecah sebanyak RM4.81 juta dengan keuntungan bersih segmen selepas cukai berjumlah kira-kira RM958,229.

 

Sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) meraih hasil RM4.75 juta dan untung selepas cukai RM34,632, manakala mekanikal dan kejuruteraan (M&E) menjana RM3.5 juta, namun kerugian bersih RM31,394.

 

Lembaga Pengarah Trive Property mengesahkan selain daripada pindaan yang dinyatakan, semua maklumat lain dalam Laporan Tahunan 2026 yang dikeluarkan pada 29 Mei 2026 kekal sah dan tidak berubah.

 

"Kumpulan ini yang berpangkalan di Bangsar South, Kuala Lumpur, terus komited dalam memastikan ketelusan pelaporan kewangannya kepada para pemegang saham," jelasnya. - DagangNews.com