Pasca letupan Putra Heights: PETRONAS Gas pulihkan 100% kesemua bekalan gas | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pasca letupan Putra Heights: PETRONAS Gas pulihkan 100% kesemua bekalan gas

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 7 Julai - PETRONAS Gas Berhad (PGB) telah berjaya menyempurnakan proses kemasukan gas (gas-in) ke saluran paip pintasan yang baharu dibina pada 1 Julai lalu, menandakan pemulihan penuh bekalan gas ke kawasan utama di Batu Tiga, Shah Alam dan Connaught Bridge.

 

PGB dalam satu kenyataan memaklumkan operasi yang bermula pada pukul 9:30 pagi telah berjaya mengalirkan gas secara selamat di Stesen Injap Utama di Puchong dan Batu Tiga, disusuli dengan pengaktifan terkawal di Putra Heights pada pukul 1 tengah hari. 

 

Katanya, aliran gas ditingkatkan secara berperingkat daripada 10% ke 100% sebelum mencapai kestabilan penuh menjelang tengah malam dengan berpandukan prosedur keselamatan yang ketat.

 

"Pelaksanaan ini dibuat selepas semua keperluan kejuruteraan, operasi dan peraturan keselamatan dipenuhi, termasuk kelulusan Permit untuk Beroperasi (PTO) oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

 

"PGB kini mengesahkan bahawa bekalan gas sudah pulih sepenuhnya untuk melancarkan penggunaan tenaga kepada pengguna domestik, perniagaan dan industri di kawasan terlibat.

 

"Dengan gas asli menjana antara 40% hingga 50% tenaga elektrik negara, PGB menegaskan komitmennya terhadap keselamatan dan keyakinan masyarakat yang tinggal berhampiran infrastruktur penting itu," menurut kenyataan itu.

 

Sebagai langkah tambahan, PGB telah melaksanakan pengukuhan kejuruteraan di laluan pintasan di Putra Heights termasuk pemasangan sensor berteknologi tinggi untuk mengesan pergerakan tanah dan paip. 

 

PGB memaklumkan struktur sokongan serta cerucuk kepingan juga dipasang bagi menjamin kestabilan jangka panjang dan operasi yang selamat.

 

"Berdasarkan siasatan JKKP dan demi ketahanan jangka panjang, PGB turut merancang pembinaan saluran paip kekal baharu dengan ciri keselamatan dipertingkat, termasuk asas cerucuk dalam dan injap tutup baharu yang membolehkan pengasingan kawasan lebih kecil jika berlaku kecemasan. 

 

"Tapak asal telah menjalani kerja penstabilan dan hanya dua saluran paip utama akan dikekalkan bagi mengurangkan risiko serta memelihara keselamatan komuniti," kata PGB.

 

Selain itu, penilaian menyeluruh turut dijalankan ke atas saluran paip sepanjang 2,680km bawah Rangkaian Gas Semenanjung Malaysia (PGU) menggunakan teknologi Geopig, Magnetic Flux Leakage (MFL) dan pemeriksaan visual terpilih. 

 

Setakat ini, tiada kawasan lain dikenal pasti mempunyai risiko seperti di Putra Heights.

 

Tambah PGB, pemantauan berterusan tetap dilaksanakan sebagai sebahagian daripada usaha pemeliharaan integriti sistem secara menyeluruh.

 

Pemulihan bekalan gas ini mencerminkan prinsip 'Kewujudan Bersama dengan Keyakinan' yang dipegang PGB, iaitu infrastruktur kritikal dan komuniti bandar boleh berkembang secara harmoni apabila diuruskan dengan piawaian keselamatan tertinggi, data yang telus dan komunikasi bertanggungjawab.

 

Tambahnya, tidak sekadar penyambungan semula bekalan, ia juga melambangkan usaha PGB untuk mengembalikan keyakinan melalui tindakan berfakta, pantas dan penuh tanggungjawab. 

 

"Selaras dengan misi kami untuk membekalkan tenaga dengan selamat, PGB melaksanakan bantuan kepada komuniti yang terjejas atas dasar ihsan dan kemanusiaan.

 

"Lebih RM2 juta telah disalurkan melalui pihak berkuasa tempatan untuk bantuan perubatan, kerosakan harta dan sokongan pemulihan. 

 

"Seramai 55 individu telah menerima rawatan dan RM1.38 juta bantuan kewangan telah diagihkan terus kepada keluarga terkesan," kata PGB.

 

 Selain itu, sebanyak RM25 juta turut disumbangkan kepada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi pembinaan semula rumah dan satu program sokongan trauma serta kesihatan mental sedang dirancang dengan pengumuman lanjut akan dibuat kelak.

 

"PGB merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada penduduk, pihak berkuasa tempatan, perkhidmatan kecemasan dan semua pihak berkepentingan atas sokongan serta kerjasama sepanjang proses pemulihan. 

 

"Sebagai pengendali utama infrastruktur gas negara, PGB kekal komited terhadap ketelusan, keselamatan tenaga nasional dan kesejahteraan komuniti yang berada berhampiran aset syarikat," menurut kenyataan itu. - DagangNews.com