Pasaran AS sumbang 38% pendapatan Top Glove pada Oktober 2025, Kenanga Research unjur volum jualan meningkat 10% pada 1QFY26 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pasaran AS sumbang 38% pendapatan Top Glove pada Oktober 2025, Kenanga Research unjur volum jualan meningkat 10% pada 1QFY26

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 5 Nov – Top Glove Corp Bhd menjangkakan volum jualan meningkat sebanyak 10% suku ke suku (q-o-q) pada suku pertama tahun kewangan 2026 (1Q26), didorong oleh peningkatan pesanan dari Amerika Syarikat (AS).

 

Menurut Kenanga Research, pertumbuhan ini turut disokong oleh aktiviti pengisian semula stok (order replenishment) dan pembelian awal (frontloading) selain prestasi lebih baik di Eropah hasil daripada kejelasan pesanan yang telah diperoleh di rantau tersebut.

 

Top Glove kini menerima pesanan daripada pembeli baharu di AS, manakala pelanggan besar pula meningkatkan kuantiti pesanan mereka kepada antara 20 hingga 50 kontena, dengan setiap kontena mengandungi kira-kira empat juta helai sarung tangan.

 

Kenanga Research berkata, pihaknya kekal positif terhadap prospek kumpulan itu menjelang tahun kewangan 2026 (FY26), dan optimis bahawa jualan ke AS akan menjadi pemacu utama pertumbuhan volum jualan dua angka.

 

Keyakinan itu turut diperkukuh dengan peningkatan momentum jualan AS pada Oktober, yang kini menyumbang 38% daripada jumlah jualan kumpulan, berbanding hanya 18% tiga suku lepas.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran pendapatan dan harga sasaran 75 sen sesaham, berdasarkan 1.3 kali nilai buku sesaham FY26, serta mengekalkan saranan “outperform” terhadap saham tersebut.

 

Bagaimanapun, Kenanga Research memberi amaran terhadap beberapa risiko utama, termasuk kemungkinan pengeluar sarung tangan gergasi dari China meneruskan amalan harga pemangsa (predatory pricing) – iaitu menjual di bawah kos dalam tempoh panjang untuk menyingkirkan pesaing – yang boleh mencetuskan perang harga. 

 

"Risiko lain termasuk jualan volum lebih rendah daripada jangkaan dan perubahan tarif baharu seperti yang pernah berlaku sebelum ini," kata Kenanga.

 

Top Glove turut menjangkakan kadar penggunaan kapasiti (utilisation rate) yang lebih tinggi pada 1Q26, selepas mencatatkan 71% pada 4Q25, meningkat daripada 61% pada 3Q25 dan 58% pada 2Q25.

 

Syarikat itu optimis terhadap peningkatan margin keuntungan dalam 1Q26, berikutan penurunan kos bahan mentah utama.

 

Bagi tujuan ilustrasi, andaian pertumbuhan volum 10% dan margin bersih antara 4.5% hingga 5.5% boleh membawa kepada keuntungan bersih teras 1Q26 antara RM26 juta hingga RM28 juta, bersamaan pertumbuhan 16% hingga 21% suku ke suku.

 

Secara keseluruhan, harga bahan mentah mencatat penurunan suku ke suku dalam 4Q25, dengan harga purata pekatan lateks asli menurun 14% manakala harga lateks nitril menurun 10%.

 

Tiada panduan khusus diberikan mengenai harga jualan purata (ASP) pada masa hadapan, namun kumpulan itu memaklumkan bahawa jurang ASP nitril antara Malaysia dan pengeluar China telah mengecil sebanyak 50 sen AS, berbanding AS$3 bagi setiap 1,000 helai tiga tahun lalu.

 

Sebagai perbandingan, ASP semasa sarung tangan nitril berketebalan nipis dari China dianggarkan sekitar AS$15.30 bagi setiap 1,000 helai, manakala Malaysia pada AS$16, berbanding andaian ASP FY26 Top Glove sebanyak AS$19 bagi setiap 1,000 helai.

 

Namun begitu, ASP di pasaran AS lazimnya lebih tinggi sebanyak AS$1.00 bagi setiap 1,000 helai, tidak termasuk caj tarif. - DagangNews.com