KUALA LUMPUR 31 Okt - Pasaran pejabat utama di ibu negara kekal stabil pada suku ketiga tahun ini (3Q25), disokong oleh daya tarikan bandar raya ini dari segi nilai kos berbanding kualiti, serta peningkatan permintaan terhadap ruang pejabat yang mematuhi prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Menurut laporan terbaharu Asia-Pacific Office Highlights oleh Knight Frank, faktor seperti berhubung terus dengan sistem pengangkutan awam juga membantu meningkatkan profail pasaran pejabat utama di bandar raya ini.
Laporan itu menyebut, kadar sewa purata bagi pejabat utama di Kuala Lumpur direkodkan pada RM6.02 sekaki persegi sebulan, tidak berubah berbanding suku sebelumnya, namun meningkat 1.7% tahun ke tahun.
Tahap kekosongan pula menurun sedikit kepada 23.1% pada 3Q25 berbanding 23.4% pada 2Q25, mencerminkan momentum penyewaan yang berterusan bagi bangunan Gred A.
Pengarah Urusan Kumpulan Knight Frank Malaysia, Keith Ooi berkata, kelebihan kos berbanding kualiti di Kuala Lumpur terus menarik penyewa ke arah aset premium yang mempunyai hubungan transit dan bersedia dari segi ESG.
“Dengan kadar sewa yang kompetitif serta peningkatan berterusan dalam infrastruktur bandar, Kuala Lumpur berada pada kedudukan strategik sebagai pangkalan jangka panjang di rantau Asia Pasifik,” katanya.
Secara keseluruhan, 16 daripada 23 bandar yang dipantau Knight Frank menunjukkan kadar sewa pejabat utama yang stabil atau meningkat secara tahunan, meskipun kadar kekosongan meningkat 0.4 mata peratusan suku ke suku akibat penyiapan projek baharu di India dan China.
Menurut Tim Armstrong, Ketua Global Strategi dan Penyelesaian Penyewa Knight Frank, permintaan terhadap ruang pejabat kini sedang berubah seiring transformasi korporat.
“Dalam persekitaran yang dinamik ini, organisasi memberi keutamaan kepada penyelesaian ruang yang menyokong kepadatan lebih tinggi serta memaksimumkan nilai strategik,” katanya.
Katanya, syarikat kini komited terhadap ruang baharu, namun dengan penekanan terhadap fleksibiliti, termasuk terma sewaan anjal dan pilihan pra-sewa bagi mengekalkan kecekapan serta mengurangkan risiko.
Dengan ketiadaan penyiapan besar baharu dijangka tahun ini, Knight Frank mengunjurkan jumlah stok pejabat di Kuala Lumpur akan meningkat hanya sekitar 2.4% pada 2025, menjadikan pasaran kekal berpihak kepada penyewa (tenant-favoured) tetapi stabil menuju tahun hadapan.
Pasaran pejabat Kuala Lumpur dijangka terus mengekalkan daya saingnya sebagai destinasi serantau bagi syarikat multinasional yang mencari keseimbangan antara kos, kualiti dan kemampanan. - DagangNews.com








