Pasaran kewangan domestik kekal teratur meskipun ditekan ketidaktentuan global - Bank Negara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pasaran kewangan domestik kekal teratur meskipun ditekan ketidaktentuan global - Bank Negara

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 16 Okt - Walaupun terdapat peningkatan ketidaktentuan global yang didorong oleh perkembangan tarif Amerika Syarikat (AS), kebimbangan terhadap  pertumbuhan global serta ketegangan geopolitik, keadaan pasaran kewangan Malaysia kekal teratur, kata Bank Negara Malaysia.

 

Bank pusat itu ketika mengumumkan laporan hasil Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Pertama Tahun 2025, berkata, Indeks Tekanan Pasaran Kewangan (Financial Market Stress Index, FMSI) mencecah paras tertinggi pada bulan Mei namun menjadi sederhana selepas itu, lantas mencerminkan kestabilan merentas semua kategori aset. 

 

Tambahnya, nilai ringgit mengukuh sebanyak 6.1% berbanding dolar AS antara bulan Mac dan September 2025, sebahagian besarnya didorong oleh perkembangan luaran. 

 

"Prospek ekonomi Malaysia yang menggalakkan, pembaharuan struktur yang sedang dilaksanakan serta libat urus berterusan dengan syarikat korporat dijangka memberikan sokongan yang berpanjangan terhadap ringgit," kata bank pusat itu dalam kenyataan hari ini.

 

pasar

 

Sektor perniagaan berdaya tahan dalam keadaan tekanan kos 

 

BNM berkata, pada separuh pertama tahun 2025, operasi perniagaan kekal teguh, disokong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan dan kegiatan ekonomi yang berterusan. 

 

Walau bagaimanapun, ujarnya, keberuntungan dikekang oleh tekanan kos yang berlarutan, khususnya dalam sektor yang terkesan akibat kos pekerja dan bahan yang lebih tinggi. 

 

"Walaupun menghadapi cabaran ini, sektor perniagaan mengekalkan kedudukan kewangan yang kukuh. Median nisbah perlindungan faedah (interest coverage ratio) berada pada 6.2 kali, manakala bahagian syarikat yang berisiko kekal stabil pada 24.4%.

 

"Kualiti kredit pinjaman perniagaan terus mampan, dengan nisbah pinjaman terjejas kekal pada 3.1%. Walaupun segelintir peniaga dalam segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terus menghadapi cabaran bayaran balik pinjaman, tanda-tanda tekanan kewangan kekal terkawal," ujarnya lagi.

 

BNM menambah, bahagian pinjaman PKS di bawah program bantuan bayaran balik pinjaman terus menurun, mencakupi 4.1% daripada jumlah pinjaman PKS dan hanya 0.7% daripada jumlah pinjaman dalam sistem perbankan dan institusi kewangan pembangunan.

 

Pada masa hadapan, katanya, persekitaran operasi dijangka kekal mencabar pada separuh kedua tahun 2025. 

 

"Walau bagaimanapun, harga input yang menurun dan strategi pengurusan kos syarikat yang berterusan dijangka dapat mengurangkan sebahagian daripada tekanan. 

 

"Selain itu, permintaan dalam negeri yang kukuh dan aktiviti pelaburan yang berterusan akan kekal sebagai
asas utama yang menyokong daya tahan sektor perniagaan," katanya.

 

rumah

 

Daya tahan isi rumah disokong oleh keadaan ekonomi dan pasaran pekerja yang menggalakkan 

 

BNM berkata, walaupun nisbah hutang isi rumah kepada KDNK meningkat sedikit kepada 84.8%, keupayaan peminjam untuk membayar balik hutang kekal kukuh, disokong oleh standard pemberian pinjaman yang berhemat oleh bank-bank.


 
Katanya, penunjuk utama keupayaan membayar balik hutang kekal kukuh, dengan median nisbah khidmat hutang (debt service ratio, DSR) pada 41% untuk pinjaman yang baru diluluskan dan 33% untuk pinjaman terkumpul.

 

"Secara keseluruhan, kualiti peminjaman isi rumah terus kukuh, dengan nisbah pinjaman terjejas kekal pada 1.1%. Bahagian pinjaman isi rumah yang berada di bawah program bantuan bayaran balik pinjaman terus menurun, lantas mencerminkan amalan bayaran balik pinjaman yang mampan. 

 

"Meskipun terdapat tekanan kos sara hidup yang berterusan, tanda-tanda tekanan kewangan dalam kalangan peminjam isi rumah kekal terhad dan terkawal, tanpa mencatatkan trend kemerosotan bayaran balik pinjaman yang meluas," tambahnya. - DagangNews.com