Paramount sasar jualan baharu RM1.2 bilion bagi FY26 didorong pelancaran banyak projek — MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Paramount sasar jualan baharu RM1.2 bilion bagi FY26 didorong pelancaran banyak projek — MBSB Research

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 2 AprilParamount Corporation Berhad menyasarkan jualan baharu lebih tinggi sebanyak RM1.2 bilion bagi tahun kewangan 2026 (FY26), menurut MBSB Research dalam nota analisisnya.


Firma penyelidikan tersebut berkata, unjuran itu mencerminkan keyakinan terhadap momentum pelancaran projek dan permintaan pasaran, sekali gus mengukuhkan prospek pertumbuhan syarikat berkenaan.


Tambahnya, sasaran tersebut juga adalah lebih tinggi berbanding hanya kira-kira RM1 bilion yang dicapai pada FY25, disokong oleh pelbagai projek baharu serta pengukuhan bank tanah kumpulan itu.


"Walaupun hanya syarikat bersaiz kecil, Paramount kekal sebagai pemaju yang berdaya tahan dengan pelancaran projek tahunan mencecah sekitar RM1 bilion hingga RM1.5 bilion," kata MBSB Research.


Selain itu jelas firma berkenaan, kumpulan tersebut memiliki baki nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM4.77 bilion setakat akhir Disember 2025 yang mampu menyokong untuk tempoh lima tahun.


Ini ujarnya, menjamin keterlihatan hasil, manakala antara projek utama ialah Embun Hills di Bukit Mertajam, Berkeley Uptown di Klang, Bukit Banyan di Sungai Petani dan Atera di Petaling Jaya.


Dalam usaha memperkukuh pertumbuhan, Paramount kata MBSB Research, aktif menambah bank tanah dengan enam perjanjian jual beli (SPA) melibatkan 151 hektar tanah dengan potensi GDV RM4 bilion. 

 

Paramount_DagangNews


"Baru-baru ini, ia juga memperoleh tanah komersial pegangan bebas di Jalan Ampang daripada IOI Properties Group Berhad bernilai RM257.89 juta dengan anggaran GDV RM1.1 bilion," tambahnya.


Justeru, firma itu menjangkakan prestasi kewangan syarikat kekal stabil dengan pertumbuhan hasil sekitar 14% pada FY26, disokong jualan belum dibilkan sebanyak RM1.5 bilion dan pelancaran baharu.


Dari sudut pulangan kepada pemegang saham pula jelas MBSB Research, Paramount mengekalkan dasar pembayaran dividen minimum 20% daripada pendapatan, dengan sasaran hasil dividen hingga 7%.


Bagi FY25, syarikat pemaju hartanah berkenaan ujarnya, mengagihkan dividen 7.5 sen sesaham dan jumlah sama dijangka dikekalkan pada FY26, menawarkan hasil dividen menarik sekitar 7.5%.


"Pada masa sama, ia menumpukan aset bukan teras termasuk segmen ruang kerja bersama-sama Co-labs Coworking, penyedia rumusan Scalable Malaysia, serta pegangan dalam aset hospitaliti," katanya.


Langkah pelaburan strategik ini tambah MBSB Research, dilihat penting bagi meningkatkan pulangan ke atas ekuiti (ROE) Paramount kepada lebih 10% menjelang 2030 berbanding hanya 7.2% pada 2024.


Sehubungan itu, ia meletakkan nilai saksama Paramount pada RM1.30 sesaham, berdasarkan diskaun 68% kepada nilai aset bersih boleh realisasi (RNAV), sambil menegaskan saham tersebut kekal menarik. 


Dengan kehadiran kukuh di Kedah dan Lembah Klang serta aliran pelancaran projek konsisten, pemaju ini berada pada kedudukan baik mengekalkan pertumbuhan pendapatan jangka sederhana. - DagangNews.com