Paramount beli tanah RM40 juta di Putrajaya, rancang projek kediaman GDV RM323 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Paramount beli tanah RM40 juta di Putrajaya, rancang projek kediaman GDV RM323 juta

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 8 Jan – Paramount Corporation Bhd merancang untuk membangunkan sebuah projek kediaman bertingkat tinggi di Putrajaya selepas memeterai perjanjian bagi mengambil alih tanah pegangan bebas seluas 2.62 ekar bernilai RM40 juta.

 

Pengambilalihan tanah tersebut akan dilaksanakan oleh Phoenix Blanc Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Paramount menerusi perjanjian jual beli dengan Cahaya Nusantara Sdn Bhd. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Jeffrey Chew berkata pembelian itu akan dibiayai menggunakan gabungan dana dalaman serta kemudahan pembiayaan bank.

 

“Tanah tersebut terletak dalam kawasan pembangunan Putrajaya Sentral dan berada berhampiran Stesen Putrajaya Sentral yang berfungsi sebagai hab pengangkutan utama, menghubungkan Laluan MRT Putrajaya, Transit Ekspres KLIA dan rangkaian bas.

 

“Tapak itu juga mempunyai akses terus ke beberapa laluan utama termasuk Lebuhraya Putrajaya–Cyberjaya serta Lingkaran Putrajaya, menjadikannya sesuai untuk pembangunan berorientasikan transit,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Paramount menjangkakan projek kediaman yang dicadangkan itu akan dilancarkan kira-kira setahun selepas perjanjian jual beli dimuktamadkan, dengan anggaran nilai pembangunan kasar mencecah RM323 juta.

 

Projek baharu ini akan meningkatkan jumlah GDV kumpulan kepada RM5.04 bilion dan dijangka menyumbang secara positif kepada prestasi kewangan Paramount dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

 

Beliau berkata pembelian tanah tersebut merupakan pengambilalihan pertama kumpulan pada tahun ini, susulan pemerolehan 363 ekar tanah pada tahun lalu yang mempunyai potensi pembangunan bernilai RM2.3 bilion.

 

“Tumpuan kepada tanah berorientasikan transit mencerminkan strategi kumpulan untuk melabur dalam aset yang mempunyai permintaan kukuh dan daya tahan tinggi dalam persekitaran bandar,” katanya.

 

Paramount turut memaklumkan bahawa tanah tersebut telah memperoleh kelulusan pembangunan yang diperlukan, membolehkan pelaksanaan projek dilakukan dengan lebih pantas bagi memenuhi permintaan kediaman di kawasan sekitar Putrajaya dan Cyberjaya. - DagangNews.com