KUALA LUMPUR 10 Feb - Pantech Global Bhd membuka permohonan untuk tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada harga 68 sen sesaham.
Menurut draf prospektusnya, IPO yang melibatkan penerbitan 262.23 juta saham baharu itu, dijangka mengumpul lebih RM178 juta untuk membiayai rancangan pengembangannya.
Pantech tidak membuat tawaran berasingan untuk penjualan saham sedia ada.
"Pada harga IPO sebanyak 68 sen itu, modal pasaran Pantech Global sebanyak RM578 juta itu akan dinilai pada 12 kali ganda pendapatannya untuk tahun kewangan berakhir 29 Feb 2024 selepas penyenaraian.
"Penyenaraian itu akan menawarkan pelabur sehingga 30.85% saham dalam syarikat yang dikawal oleh Pantech Group Holdings Bhd.
"Permohonan untuk IPO ditutup pada 19 Februari 2025 dan Pantech Global dijadualkan akan disenaraikan pada 3 Mac 2025," Kata Pantech Global.
Pengarah Urusan Pantech Global Adrian Tan, berkata, cadangan penyenaraian itu menandakan langkah strategik dalam aspirasi pertumbuhan syarikat di peringkat global.
Pantech Global mempunyai 27 pasaran asing, memegang 66% bahagian pasaran eksport Malaysia untuk kelengkapan paip pada 2023 dan membekalkan 16% daripada paip dikimpal keluli tahan karat negara.
Produknya memenuhi segmen huluan, pertengahan dan hiliran pelbagai industri, termasuk petroleum, air, bahan kimia, makanan dan minuman, pembinaan kapal, farmaseutikal, penjanaan kuasa dan semikonduktor.
Syarikat itu akan memperuntukkan 74% daripada hasil IPO untuk pengembangan dan perbelanjaan modal, 13% bagi tujuan modal kerja dan 8% bagi pembayaran balik pinjaman.
Selebihnya akan diketepikan untuk menampung anggaran perbelanjaan penyenaraian.
Di bawah terbitan awam, Pantech Global memperuntukkan 21.25 juta saham baharu kepada rakyat Malaysia melalui pengundian, dengan separuh dikhaskan untuk pelabur Bumiputera.
Selain itu, 29.75 juta saham IPO akan ditawarkan kepada individu yang layak.
Melalui penempatan persendirian, Pantech Global juga akan menjual 69.98 juta saham kepada pelabur terpilih dan 106.25 juta saham kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan.
Sementara itu, pemegang saham syarikat induk Pantech Group berhak mendapat satu saham IPO bagi setiap 25 saham sedia ada yang dipegang.
Selepas penyenaraian, Pantech Group akan kekal sebagai pemegang saham utama Pantech Global, memegang 69.15% kepentingan.
Pantech Global melaporkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM49.71 juta dan hasil sebanyak RM440.94 juta untuk 2024.
Alliance Islamic Bank Bhd ialah penasihat utama, penaja jamin, dan ejen penempatan untuk IPO. - DagangNews.com








