KUALA LUMPUR 18 Sept – Pantech Group Holdings Bhd menerima notis taksiran cukai keuntungan modal berjumlah RM6.76 juta daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi tahun taksiran 2025.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata ia sedang mendapatkan nasihat profesional berhubung perkara tersebut.
“Syarikat merancang untuk memfailkan rayuan rasmi kepada LHDN dalam masa terdekat,” kata syarikat itu.
Pantech yang terlibat dalam pengilangan dan perdagangan produk keluli bagi industri minyak & gas serta pemprosesan air itu turut memberi jaminan bahawa ia akan mengumumkan sebarang perkembangan material berkaitan perkara ini dari semasa ke semasa.
Notis ini dijangka tidak memberi kesan serta-merta kepada operasi harian kumpulan, namun pematuhan kepada peraturan cukai kini menjadi fokus utama bagi syarikat tersenarai yang berdepan pemantauan lebih ketat daripada pihak berkuasa.
Lebih Banyak Syarikat Terima Notis CGT
Sementara itu Pantech bukan satu-satunya syarikat tersenarai yang menerima taksiran cukai tersebut. Semakan menunjukkan sebelum ini beberapa syarikat lain turut mengesahkan menerima notis serupa daripada LHDN.
Ini termasuk Scientex Bhd, yang menerima taksiran melebihi RM12 juta berikutan pelupusan kepentingan dalam syarikat subsidiari tidak tersenarai.
Salutica Bhd, turut mengesahkan menerima notis CGT berjumlah RM3.4 juta pada Ogos lalu.
Eco World International Bhd, turut meneliti semula transaksi jualan aset luar negara yang diklasifikasikan di bawah skop cukai keuntungan modal.
Langkah ini mencerminkan pendekatan proaktif LHDN dalam menguatkuasakan peraturan cukai baharu, yang dijangka menyumbang kepada hasil negara, terutama dalam usaha merapatkan jurang fiskal menjelang Belanjawan 2026.
Penganalisis menjangka lebih banyak syarikat akan membuat pendedahan dalam tempoh terdekat apabila semakan cukai oleh pihak berkuasa semakin giat dijalankan.
“Walaupun CGT hanya terpakai kepada pelupusan saham tidak tersenarai, takrifan keuntungan modal turut merangkumi transaksi tertentu yang melibatkan penyusunan semula korporat dan penjualan aset,” kata seorang pakar cukai.
Para pelabur digesa memantau pendedahan dalam laporan suku tahunan dan pengumuman korporat yang mungkin menyentuh isu pematuhan cukai CGT, memandangkan sebarang liabiliti cukai berpotensi memberi impak kepada tunai dan keuntungan sesaham (EPS). - DagangNews.com








