KUALA LUMPUR 23 Okt – Pameran Bioekonomi Nasional 2025 (NBiOSHOWCASE 2025) yang diadakan sempena Persidangan Ekonomi Digital Sarawak 2025 (IDECS25) berjaya menjana potensi pelaburan dan jualan lebih RM300 juta dalam sektor berasaskan bio.
Acara itu menjadi platform penting untuk menggalakkan kerjasama strategik dan perkongsian antara pemain industri, akademik dan kerajaan.
Program utama itu dianjurkan oleh Malaysian Bioeconomy Development Corporation dan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis.
Dalam ucapan perasmiannya, Francis berkata, sebanyak 22 syarikat berstatus BioNexus dan Bio-based Accelerator (BBA) di Sarawak berjaya menjana pelaburan diluluskan berjumlah kira-kira RM574 juta dalam industri berasaskan bio.
“Jumlah ini akan terus meningkat melalui aktiviti dan kerjasama sepanjang dua hari penganjuran NBiOSHOWCASE 2025,” katanya ketika berucap di majlis perasmian tersebut.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation, Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak berkata, potensi pelaburan dan jualan yang dicatat mencerminkan inovasi berasaskan hijau dalam sektor kesihatan, perindustrian dan pertanian berasaskan bio, serta menonjolkan komitmen Sarawak dalam pembangunan bioekonomi mampan.
“Kerjasama yang terjalin diharapkan menjadi permulaan kepada pelbagai inisiatif berimpak tinggi bersama Kerajaan Negeri Sarawak.
“Pembangunan industri protein alternatif yang bakal dilaksanakan bersama Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) membuktikan hubungan strategik ini akan terus diperkukuh,” katanya.

NBiOSHOWCASE 2025 turut menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) penting.
Antara yang terlibat ialah MoU dengan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bagi memperkukuh penyelidikan, pembangunan, inovasi, pengkomersialan, pembangunan bakat, keusahawanan, inisiatif STEM dan projek bersama lain.
MoU lain termasuk antara Bioeconomy Corporation dan Bioverde Technologies Sdn Bhd bagi memacu pertumbuhan ekonomi melalui enam bidang utama termasuk pengkomersialan dan perkongsian data pasaran.

Majlis ini disaksikan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Pertukaran MoU bernilai RM5 juta turut dimeterai antara Mentari Alam Eko (M) Sdn Bhd (MAEKO) dan IJO Borneo Sdn Bhd bagi menguruskan sisa makanan melalui penubuhan usaha sama baharu di Kuching.
Selain itu, RCERT Sdn Bhd bekerjasama dengan TIRS Optics Co., Ltd dari Taiwan bagi memperkukuh aplikasi visualisasi dan penderiaan nanoskala dalam penyelidikan dan kultur sel.
Acara itu juga menyaksikan pelancaran empat produk berasaskan bio baharu dengan potensi jualan melebihi RM3 juta dalam tempoh tiga tahun.
Antara produk termasuk makanan haiwan peliharaan berasaskan protein larva Black Soldier Fly oleh SEDC Entopro, teh botani herba oleh Dr. Parveens Global Sdn Bhd, tempe kukus sedia dimakan oleh Hong Xin Food Sdn Bhd serta campuran protein mampan berasaskan yis dan cendawan oleh Good Morning Bio Industries Sdn Bhd.
Portal BBA berasaskan kecerdasan buatan (AI) turut dilancarkan untuk memudahkan pengguna meneroka lebih 600 syarikat bio berasaskan teknologi di Malaysia mengikut sektor, negeri dan kategori. - DagangNews.com








