Pahang catat produktiviti buruh tertinggi dengan kadar 4.9% mengatasi purata negara 2.4% - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pahang catat produktiviti buruh tertinggi dengan kadar 4.9% mengatasi purata negara 2.4% - DOSM

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 31 Okt – Pahang mencatatkan pertumbuhan produktiviti buruh tertinggi di Malaysia bagi tahun 2024 dengan kadar 4.9%, mengatasi purata kadar pertumbuhan negara sebanyak 2.4%.

 

Pencapaian itu didorong oleh prestasi memberangsangkan sektor pembinaan yang merekodkan pertumbuhan 15.9%, diikuti sektor pertanian 12.8% dan sektor perkhidmatan 1.4%.

 

Data terbaharu Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan produktiviti buruh mencatatkan pertumbuhan positif di kebanyakan negeri pada 2024 dengan Pahang, Johor, W.P Kuala Lumpur, Melaka, Selangor dan Sarawak melepasi 2.4% pertumbuhan negara.

 

Pahang mendahului dengan peningkatan 4.9% berbanding 2.8% pada tahun 2023 diikuti oleh Johor yang meningkat sebanyak 4.3% (2023: 2.1%), W.P. Kuala Lumpur pada 3% (2023: 0.8%), Melaka pada 2.8% (2023: 0.8%), Selangor pada 2.8% (2023: 1.9%) dan Sarawak pada 2.7% (2023: -1.2%).

 

“Selain itu, produktiviti buruh bagi sektor pembinaan meningkat 16.4% pada 2024 (berbanding 4.9% pada tahun; RM40,555 seorang).

 

“Pertumbuhan didorong oleh prestasi kukuh di 14 negeri, iaitu Johor (53.5%), Perlis (28.1%), Melaka (23.3%), Kelantan (20.5%), Sabah (20.3%), W.P Kuala Lumpur (19.1%), Terengganu (18.4%), Pahang (15.9%), Sarawak (14.7%), Pulau Pinang (11.7%), Perak (11.5%), Selangor (9.3%) dan Negeri Sembilan (7.9%). 

 

“Sebaliknya, penurunan dicatatkan di Kedah (-15.5%) dan W.P. Labuan (-2.6%),” kata DOSM.

 

Dalam sektor pembuatan pula, produktiviti buruh meningkat 2.6% berbanding -2.1% pada 2023, merekodkan nilai ditambah setiap pekerja sebanyak RM134,532 seorang (2023: RM131,147 seorang). 

 

DOSM berkata, peningkatan ini disokong oleh pertumbuhan positif oleh beberapa negeri, iaitu Terengganu (4.6%), Selangor (4.2%), Perak (3.8%), Johor (3.4%), Kedah (3.1%), Melaka (2.6%), W.P Kuala Lumpur (2.2%), W.P. Labuan (2.2%), Perlis (2.1%), Negeri Sembilan (1.7%), Sarawak (1.4%), Pulau Pinang (1.4%) dan Kelantan (0.4%). 

 

“Sebaliknya, penurunan dicatatkan di Sabah (-5.0%) dan Pahang (-0.9%),” kata jabatan itu.

 

Sementara itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pencapaian itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Pahang dalam memperkukuh daya saing ekonomi negeri dan memastikan kesejahteraan rakyat terus diperkasa melalui pembangunan sektor-sektor strategik.

 

“Pahang berharap momentum positif ini dapat dikekalkan dan dipertingkatkan, demi merealisasikan hasrat menjadi sebagai negeri maju, makmur dan berdaya tahan selaras dengan agenda pembangunan mampan negeri,” katanya. - DagangNews.com