PAC siasat konsesi kenderaan kerajaan susulan kelemahan dilaporkan Laporan Ketua Audit Negara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PAC siasat konsesi kenderaan kerajaan susulan kelemahan dilaporkan Laporan Ketua Audit Negara

Gambar Hiasan
Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 9 Okt – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan menyiasat isu berkaitan konsesi pengurusan kenderaan kerajaan, susulan pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara mengenai kelemahan serius dalam pengurusan tersebut.

 

Pengerusi PAC, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, wakil daripada Kementerian Kewangan akan dipanggil untuk memberi penjelasan berhubung pengurusan kenderaan kerajaan itu.

 

“Tarikh prosiding akan diumumkan kemudian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Laporan Ketua Audit Negara yang terbaharu mendapati berlaku kelewatan ketara dalam penghantaran kenderaan, selain kegagalan kerajaan menguatkuasakan penalti terhadap syarikat konsesi.

 

Antara dapatan utama ialah sebanyak 6,028 unit kenderaan dihantar lewat, kelewatan mencecah sehingga 508 hari dan walaupun klausa penalti dinyatakan dalam kontrak, kerajaan tidak menguatkuasakan penalti bernilai RM54.51 juta terhadap konsesi terbabit.

 

ARTIKEL BERKAITAN: 6,028 kenderaan kerajaan lewat dibekal — RM54.5 juta penalti tidak dikutip, menurut Laporan Ketua Audit Negara

 

Mas Ermieyati berkata, selain itu PAC juga akan menyemak pelaksanaan sistem pembayaran jaminan secara dalam talian, e-Jamin, yang dikendalikan oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan.

 

Bagaimanapun, beliau tidak memberikan perincian lanjut mengenai isu yang akan dibangkitkan dalam siasatan tersebut.

 

Sementara itu, Mas Ermieyati berkata untuk tahun ini PAC sudah membentangkan 14 penyata, dengan empat lagi laporan dicadang untuk dibentangkan bagi mesyuarat ketiga ini.

 

Beliau juga memaklumkan PAC akan mengadakan lawatan kerja bagi memantau status pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) di Limbungan Boustead Naval Shipyard di Markas Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut, Perak.

 

Pada Jun 2023 lalu, PAC mengambil masa kira-kira dua jam untuk melihat sendiri status pembinaan Kapal Peronda Generasi Kedua itu, disusuli pembentangan dua penyata laporan PAC berkenaannya di Dewan Rakyat iaitu pada 9 Oktober dan 14 November 2023. - DagangNews.com