KUALA LUMPUR 15 Julai - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mahu Felcra Berhad menjadikan analisis pulang modal sebagai syarat standard dalam setiap simulasi kewangan.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, ia penting bagi memastikan unjuran yang tepat dan mengelak kesilapan seperti berlaku di Ladang Telupid.
"Dari segi unjuran kewangan, PAC mengalu-alukan semakan semula pengiraan pulangan pelaburan (ROI) Felcra bagi empat ladang bermasalahnya, iaitu Telupid, Dabong, Sungai Rawit 2 dan Aring.
"Bagaimanapun kesan kumulatif peningkatan kos operasi serta keperluan penanaman semula secara besar-besaran telah menyebabkan tempoh pulang modal (break-even) bagi ladang Telupid berubah daripada 2030 kepada 2040.
"Sehubungan itu, simulasi kewangan pada masa hadapan perlu memasukkan analisis pulang modal sebagai syarat standard," katanya pada sidang media di Parlimen selepas mengumumkan tindakan susulan terhadap sembilan syor PAC berkaitan Felcra.
Mas Ermieyati berkata, jawatankuasa itu mengambil maklum semakan semula pengiraan ROI Felcra bagi empat ladang bermasalah itu kerana ia merupakan antara penambahbaikan yang dilaksanakan susulan syor Ketua Audit Negara selepas beberapa kelemahan tadbir urus dikenal pasti dalam pemerolehan ladang kelapa sawit oleh Felcra.
Pembaharuan Tadbir Urus
Selain aspek unjuran kewangan, PAC turut mengambil maklum beberapa pembaharuan tadbir urus yang diperkenalkan Felcra bagi mengelakkan kelemahan sama berulang.
Antaranya ialah mewajibkan laporan penilaian daya maju oleh perunding bebas dibentangkan kepada lembaga pengarah sebelum sebarang pemerolehan aset dibuat.
Felcra juga memperkenalkan tempoh bertenang (cooling-off period) antara 15 hingga 30 hari sebelum sebarang perjanjian dimeterai bagi mengelakkan keputusan pelaburan dibuat secara tergesa-gesa.
Bagaimanapun, Mas Ermieyati berkata, keberkesanan prosedur operasi standard (SOP) baharu itu masih belum dapat dinilai kerana sehingga kini tiada pemerolehan aset komersial baharu dilaksanakan.
"PAC menegaskan bahawa pematuhan sepenuhnya terhadap SOP baharu yang diperkukuh amat penting bagi memastikan kemampanan pelaburan, mengelakkan risiko kerugian pada masa hadapan serta melindungi kestabilan kewangan syarikat dalam jangka panjang," katanya.
Mengurangkan Kebergantungan Kepada Tenaga Kerja Asing
PAC turut mengalu-alukan strategi jangka sederhana dan panjang Felcra untuk mengurangkan kebergantungan kira-kira 90% kepada tenaga kerja asing, selain keputusan menggantung semua pemerolehan baharu bank tanah komersial bagi mengurangkan komitmen kewangan syarikat.
Dari aspek tadbir urus lembaga pengarah, jawatankuasa itu turut menyambut baik pelaksanaan sistem pelaporan GCAIS 2.0 oleh Kementerian Kewangan yang membolehkan wakil kementerian dalam lembaga pengarah Felcra melaporkan isu kritikal secara terus dan lebih pantas.
Isu tadbir urus Felcra menjadi perhatian selepas Laporan Ketua Audit Negara 2/2025 mendedahkan kelemahan ketara dalam pemerolehan empat ladang kelapa sawit bernilai RM241.76 juta yang dibuat antara 2022 hingga 2024, sekali gus mendorong PAC mengemukakan beberapa syor bagi memperkukuh tadbir urus dan disiplin kewangan syarikat. - DagangNews.com








