KUALA LUMPUR 15 Julai - Rivertree STF Synergies Berhad memperoleh kontrak pembinaan turnkey bernilai RM168.14 juta bagi membangunkan sebuah kemudahan kuarters pekerja berpusat (CLQ) berkapasiti 9,000 katil di Klang, Selangor, sekali gus mengukuhkan strategi kumpulan untuk memperluaskan portfolio aset yang menjana pendapatan berulang.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat berkata kontrak tersebut dianugerahkan kepada anak syarikat milik penuhnya, RSSB Builders Sdn. Bhd. (RBSB) oleh Asetvest Sdn. Bhd., sebuah syarikat milik penuh Asetra Sdn. Bhd.
Projek itu melibatkan kerja-kerja reka bentuk, perancangan, pembinaan dan penyiapan sebuah kemudahan CLQ di atas tanah di Mukim Kapar, Klang.
Kontrak berkenaan susulan Perjanjian Prinsip (HOA) yang dimeterai pada 3 Mac 2026 antara RBSB, Asetra, Q Centre (Teratai) Sdn. Bhd. dan Q Centre Management Sdn. Bhd. bagi membangunkan sehingga empat CLQ baharu dengan kapasiti keseluruhan 28,800 katil serta nilai indikatif RM600 juta.
Menurut syarikat, kontrak itu akan berkuat kuasa selepas penyempurnaan perjanjian jual beli tanah antara Asetvest dan Q Centre (Teratai) serta penyerahan milikan tanah kepada Asetvest.
Di bawah terma kontrak, nilai kontrak sebanyak RM168.14 juta adalah tetap. Bagaimanapun, RBSB boleh memohon pelarasan melalui peruntukan dana luar jangka sekiranya berlaku peningkatan kos bahan binaan akibat ketidaktentuan pasaran global.
Projek tersebut dijangka mencapai Siap Praktikal (CPC) pada 30 Jun 2028, manakala Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) disasarkan diperoleh menjelang 31 Disember 2028.
Kecekapan Pelaksanaan Projek
Lembaga Pengarah berkata, pelantikan RBSB sebagai kontraktor turnkey membolehkan keseluruhan proses reka bentuk, kejuruteraan, perolehan dan pembinaan dilaksanakan di bawah satu kontrak, sekali gus meningkatkan kecekapan pelaksanaan projek.
Menurutnya, model turnkey turut dijangka memperkukuhkan penyelarasan antara semua disiplin projek, mengurangkan risiko pelaksanaan yang lazim timbul apabila melibatkan pelbagai kontraktor serta memudahkan kawalan kos dan jadual pembinaan.
"Projek CLQ ini merupakan sebahagian daripada strategi kumpulan untuk membangunkan penginapan pekerja yang dibina khas bagi memenuhi permintaan pasaran serta keperluan kawal selia.
"Selepas siap kelak, projek ini dijangka mengukuhkan portfolio pendapatan berulang kumpulan dan menyumbang secara positif kepada prospek pendapatan jangka panjang," katanya.
Dari sudut kewangan, syarikat menjangkakan kontrak itu memberi sumbangan positif kepada aset bersih sesaham (NAPS) dan pendapatan sesaham (EPS) bermula tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027, tanpa memberi kesan material terhadap tahap penggearan kumpulan. - DagangNews.com








