Bekas KSU Perbendaharaan, Ahmad Badri ganti Shabery Cheek terajui Felda | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bekas KSU Perbendaharaan, Ahmad Badri ganti Shabery Cheek terajui Felda

Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 15 Julai – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) melantik Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir sebagai Pengerusi baharu menggantikan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang menamatkan tempoh perkhidmatan pada 30 Jun 2026.

 

Pelantikan itu dilihat sebagai langkah strategik kerajaan untuk memperkukuh kepimpinan Felda dengan mengetengahkan individu yang mempunyai rekod panjang dalam pentadbiran kewangan negara, selain berpengalaman mengemudi institusi utama sektor awam dan korporat.

 

Felda berkata, keyakinan terhadap Ahmad Badri dibina atas kredibiliti, integriti serta pengalaman luas beliau dalam mengurus organisasi berskala besar yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

 

“Kepimpinan beliau dijangka mampu memperkemaskan tadbir urus, melonjakkan kecemerlangan pengurusan dan memastikan agenda transformasi Felda terus dipacu seiring dengan matlamat pembangunan Malaysia yang mampan serta inklusif,” kata Felda dalam satu kenyataan.

 

Ahmad Badri bukanlah nama asing dalam landskap kewangan negara. 

 

Beliau memulakan kerjaya di Kementerian Kewangan pada 1989 sebelum menggalas pelbagai tanggungjawab penting sepanjang lebih 30 tahun perkhidmatannya.

 

Kemuncak kerjaya beliau dalam perkhidmatan awam ialah apabila dilantik sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan bagi tempoh 2018 hingga 2020, sekali gus memainkan peranan penting dalam pengurusan kewangan negara.

 

Selepas itu, beliau terus menyumbang kepada pembangunan institusi negara apabila diberi kepercayaan menerajui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai pengerusi, selain pernah menganggotai lembaga pengarah Bank Negara Malaysia, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

 

Kini, Ahmad Badri masih memegang beberapa jawatan penting termasuk sebagai Pengerusi RHB Bank Berhad dan Lembaga Getah Malaysia, selain menganggotai lembaga pengarah Sime Darby Berhad.

 

Dari sudut akademik, beliau memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari University of Hull, United Kingdom serta Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hartanah daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM).

 

Felda yakin gabungan pengalaman dalam sektor awam dan korporat yang dimiliki Ahmad Badri akan menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh daya tahan organisasi serta memastikan pelan transformasi yang sedang dilaksanakan dapat diteruskan dengan lebih berkesan.

 

Pada masa sama, organisasi itu berharap kepimpinan baharu tersebut dapat mempertingkat kemampanan ekonomi kumpulan, sekali gus menjana manfaat yang lebih besar kepada lebih tiga juta warga peneroka di seluruh negara.

 

Felda turut menyatakan keyakinan bahawa Ahmad Badri mampu membawa agensi itu ke tahap lebih tinggi dengan mengimbangi keperluan pembangunan perniagaan dan kebajikan peneroka, sekali gus memastikan kemakmuran yang dibina hari ini dapat diwarisi oleh generasi akan datang. - DagangNews.com