Oxford Innotech menang kontrak RM4.8 juta bagi projek pusat data | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Oxford Innotech menang kontrak RM4.8 juta bagi projek pusat data

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 21 Jan – Penyedia rumusan kejuruteraan bersepadu, Oxford Innotech Berhad (OXB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, CG Solutions Enterprise Sdn Bhd, menerima surat anugerah bagi membekalkan komponen keluli berketepatan tinggi untuk rumusan pengurusan aliran udara pusat data bernilai RM4.8 juta.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, OXB berkata, kontrak itu dianugerahkan oleh sebuah syarikat pakar infrastruktur pusat data dan bilik komputer berpangkalan di Australia, bagi projek pusat data milik kumpulan teknologi global dari Amerika Syarikat.

 

Pengarah Urusan OXB, Ng Thean Gin berkata, kontrak berkenaan merupakan permulaan positif bagi kumpulan itu dalam tahun kewangan baharu, selain menandakan kejayaan memperoleh pelanggan baharu.

 

“Ini adalah permulaan yang baik bagi kami dalam tahun kewangan baharu, memandangkan ia juga melibatkan pelanggan baharu kepada kumpulan. Anugerah ini mengesahkan keupayaan teknikal serta kekuatan pelaksanaan OXB dalam menyokong kerja-kerja kritikal, khususnya dalam memenuhi keperluan projek yang ketat dan jadual penghantaran yang mencabar bagi projek pusat data,” katanya.

 

Beliau berkata, kontrak tersebut akan bermula bulan hadapan dan dijadualkan siap menjelang akhir 2026, serta dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan semasa.

 

Mengulas prospek, Thean Gin berkata, OXB akan terus memanfaatkan momentum tersebut dengan menyasarkan lebih banyak projek seumpamanya pada masa hadapan.

 

“Secara keseluruhan, syarikat kekal positif terhadap prospek kumpulan, disokong oleh permintaan yang berdaya tahan dalam industri semikonduktor serta pelaburan berterusan dalam pembuatan beresifikasi tinggi dan infrastruktur kritikal seperti pusat data di seluruh rantau ini,” katanya.

 

Sebagai rekod, OXB disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 29 Julai 2025 dan berjaya mengumpul RM41.6 juta, yang sebahagian besarnya diperuntukkan bagi pengembangan kapasiti serta peningkatan keupayaan bagi menyokong pertumbuhan masa hadapan. - DagangNews.com