KUALA LUMPUR 29 Okt – OTS Holdings Limited kini memiliki kilang pengeluaran makanan baharu yang canggih di Simpang Renggam, Johor, hasil pelaburan berjumlah RM40 juta.
Kilang yang dilengkapi pensijilan halal itu dilengkapi dengan mesin F&B moden dan sistem automasi, membolehkan Kumpulan meningkatkan kapasiti pengeluaran bulanan kepada 200 tan, tiga kali ganda daripada pengeluaran halal sedia ada di Singapura sebanyak 60 tan.
Kilang tersebut dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor, Lee Ting Han semalam. Majlis itu turut dihadiri wakil daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Enterprise Singapore, Persekutuan Perniagaan Singapura, Jabatan Agama Islam Johor, serta wakil institusi perbankan dan rakan kongsi perniagaan.
Sejak memperoleh tanah berkenaan pada November 2023 dengan nilai RM14.3 juta, OTS Holdings telah melaksanakan kerja-kerja pengubahsuaian dan naiktaraf untuk memastikan kilang baharu itu menepati piawaian pengeluaran makanan yang ketat, kawalan kualiti dan keperluan operasi Kumpulan.
Kilang seluas 178,863 kaki persegi dengan binaan 65,000 kaki persegi itu dibina khusus untuk pengeluaran produk makanan yang telah memperoleh sijil halal pada Ogos 2025. Peralatan moden dan sistem automasi membolehkan Kumpulan mengekalkan standard kualiti tinggi walaupun dengan tenaga kerja minimum.
Pengarah Urusan OTS Holdings, Ong Bee Chip berkata, kilang baharu ini mencerminkan komitmen Kumpulan dalam memenuhi keperluan segmen pengguna Muslim yang berkembang, bukan sahaja dari segi jumlah pengeluaran, tetapi juga dari segi kualiti dan keselamatan makanan.
“Kapasiti pengeluaran yang diperluas ini akan mengukuhkan kemampuan eksport ke pasaran Malaysia, Singapura, Timur Tengah, UAE dan Afrika, membolehkan jenama halal terkemuka dan produk berkualiti tinggi kami sampai kepada lebih ramai pengguna di seluruh dunia,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, pembukaan kilang baharu itu mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam ekonomi halal global, terutamanya dalam sektor pengeluaran makanan. “Ia membuktikan keyakinan jenama antarabangsa terhadap ekosistem, infrastruktur dan tenaga kerja mahir negara.
“Projek ini memanfaatkan kedudukan strategik Johor berdekatan Singapura, memperkukuh rantaian bekalan serantau serta meningkatkan kapasiti halal negara untuk memenuhi permintaan global,” katanya.
Dengan pelbagai mesin canggih dan kepakaran R&D, OTS Holdings dapat meningkatkan keberkesanan operasi, memastikan kualiti produk yang seragam dan mempercepat pengeluaran produk bersijil halal yang memenuhi kehendak pasaran tempatan dan antarabangsa.
OTS Holdings yang ditubuhkan pada 1993 kini menjadi kumpulan pembina jenama dan pengeluar makanan berpengkhususan dalam produk daging sedia dimakan dan sedia dimasak. Kumpulan memiliki lebih 1,100 SKU merangkumi 13 jenis produk utama di bawah lapan jenama milik sendiri, termasuk jenama terkenal “Golden Bridge” dan “Kelly’s”. - DagangNews.com








