KUALA LUMPUR 1 Okt – OSK Holdings Bhd melalui anak syarikat hartanahnya, OSK Property Holdings Bhd menandatangani perjanjian bagi memperoleh sebidang tanah seluas 1.34 hektar berharga RM44.34 juta di Subang Jaya daripada Tropicana Corp Bhd.
Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan OSK, Ong Ju Xing berkata, tanah tersebut terletak dalam pelan induk Tropicana Metropark.
“Kawasan itu akan dibangunkan dengan kediaman pangsapuri servis yang disasarkan kepada pembeli rumah muda dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan sebanyak RM427 juta.
“Pemerolehan ini memperkukuhkan kehadiran OSK di Subang Jaya yang dianggap sebagai antara kawasan bandar sedang berkembang pesat di Lembah Klang.
“Dengan akses mudah serta ekosistem kemudahan yang lengkap, pembangunan projek baharu itu nanti diyakini mendapat permintaan tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, Subang mempunyai permintaan berterusan untuk pembangunan berorientasikan gaya hidup, terutamanya dalam kalangan pembeli yang mencari keseimbangan antara nilai yang baik dan berkualiti.
“Pemerolehan ini juga akan menambah rizab tanah Kumpulan dan menyokong aliran pembangunan masa depan yang mampan.
“Setakat akhir Jun, jualan belum ditagih OSK berjumlah RM1.3 bilion, manakala jumlah rizab tanah keseluruhan merangkumi 2,475 ekar dengan anggaran GDV RM18.5 bilion di Lembah Klang, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan serta Melbourne, Australia,” katanya.
OSK Holdings Bhd mencatatkan keputusan kewangan lebih baik bagi separuh pertama tahun kewangan 2025, didorong oleh sumbangan keuntungan daripada hampir semua segmen perniagaannya sepanjang tempoh tersebut.
Bagi suku berakhir 30 Jun 2025, keuntungan bersih kumpulan meningkat kepada RM142 juta berbanding RM128.7 juta pada suku sama tahun lalu. - DagangNews.com








