KUALA LUMPUR 28 Jan - Oriental Interest Berhad memulakan tahun kewangan 2026 dengan langkah positif selepas meraih keuntungan bersih RM29.09 juta bagi suku pertama berakhir 30 November 2025.
Kumpulan pemaju itu berkata, peningkatan ketara daripada RM19.10 juta pada suku yang sama tahun kewangan sebelumnya itu didorong terutama prestasi lebih kukuh dalam segmen pembangunan hartanah.
Ia mencatatkan bil kemajuan lebih tinggi daripada pelbagai projek sedia ada serta projek yang baru disiapkan dengan hasil melonjak 25% kepada RM170.02 juta berbanding RM135.71 juta pada 1QFY25.
"Segmen pembangunan hartanah kekal penyumbang utama dengan hasil RM153.66 juta, naik 47%, dan untung sebelum cukai (PBT) segmen itu meningkat 56% kepada RM37.49 juta," kata Oriental Interest.
Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia, ia menambah yang perkembangan positif tersebut juga adalah selaras kedudukan margin projek lebih baik, dengan pendapatan turut naik 25% pada suku berkenaan.
Secara keseluruhan katanya, PBT kumpulan itu mencecah RM38.73 juta, naik 51% berbanding RM25.69 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya, manakala pendapatan sesaham dasar adalah 4.63 sen.
"Dividen interim sebanyak 6 sen sesaham sudah diisytiharkan bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2026 untuk diagihkan kepada pemegang saham Oriental Interest dalam masa yang terdekat," jelasnya.
Meskipun segmen hartanah berkembang pesat, tetapi segmen pembinaan am mencatatkan penurunan hasil sebanyak 60% kepada RM10.76 juta, berikutan faktor bil yang lebih rendah kepada pelanggan luaran.
Selain itu, kumpulan turut memaklumkan mengenai pengambilalihan baki ekuiti dalam OIB Marketing Sdn Bhd dan OIB Construction Sdn Bhd pada November 2025, menjadikannya subsidiari milik penuh kumpulan.
Mengenai prospek masa hadapan, Lembaga Pengarah Oriental Interest berpandangan, syarikat itu berada pada kedudukan yang lebihbaik dengan jualan hartanah tidak dibil sudah berjumlah RM557.27 juta.
"Kumpulan hartanah ini juga mempunyai simpanan tanah berkeluasan 1,027 hektar di lokasi strategik, yang memberikan asas kukuh untuk keterlihatan pendapatan dalam tempoh jangka panjang," katanya.
Pihak pengurusan menyatakan keyakinan untuk memberikan prestasi positif bagi tahun kewangan 2026, disokong oleh permintaan yang berterusan daripada terutama pembeli rumah kali pertama.
Di samping itu, Oriental Interest masih lagi bersikap optimis berdepan dengan isu ketidaktentuan ekonomi tempatan serta tekanan inflasi yang dijangka dalam sektor hartanah. - DagangNews.com








