Oriental Holdings, LBS Bina bekerjasama bangunkan projek dengan GDV RM600 juta di Klebang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Oriental Holdings, LBS Bina bekerjasama bangunkan projek dengan GDV RM600 juta di Klebang

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 28 Okt – Oriental Holdings Bhd dan LBS Bina Group Bhd mengorak langkah strategik dengan memeterai dua perjanjian usaha sama (JVA) bagi membangunkan projek komersial dan kediaman di Klebang, Melaka dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan sebanyak RM600 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Oriental memaklumkan anak syarikat milik penuhnya, Ultra Green Sdn Bhd, telah menandatangani dua JVA dengan Business Park Development Sdn Bhd (BPD), anak syarikat kepada LBS, bagi membangunkan dua projek di atas tanah seluas 54.75 ekar.

 

Tanah berkenaan merupakan sebahagian daripada 561 ekar pegangan Ultra Green, yang merupakan anak syarikat milik penuh tidak langsung Oriental melalui Kah Motor Company Sdn Bhd.

 

Menurut kenyataan tersebut, BPD dimiliki 80% oleh LBS Bina Holdings Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh LBS, manakala baki 20% dipegang oleh Au-Yang Liang Hin.

 

Melalui perjanjian itu, kedua-dua pihak bersetuju Ultra Green berhak menerima bayaran tunai bersamaan 17% daripada GDV hasil jualan unit hartanah dan penghutang di bawah projek yang dicadangkan.

 

“Tiada sebarang liabiliti, termasuk liabiliti bersyarat atau jaminan, akan ditanggung oleh Oriental hasil daripada pelaksanaan usaha sama ini,” jelas Oriental dalam pemfailan tersebut.

 

Pembangunan di Klebang itu dijangka memberi nilai tambah kepada pegangan tanah Oriental di Melaka selain memperkukuh kehadiran LBS sebagai pemaju utama di negeri berkenaan.

 

Saham Oriental tidak berubah pada paras RM7.05 semasa dagangan ditutup semalam, dengan permodalan pasaran sebanyak RM4.374 bilion. - DagangNews.com