KUALA LUMPUR 3 Nov – Optimax Holdings Bhd dijangka mencatat pertumbuhan yang lebih rancak dalam tempoh dua tahun akan datang, disokong oleh dua pemangkin utama yang bakal melonjakkan hasil dan keuntungan syarikat ke tahap lebih tinggi, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB)
Justeru bank pelaburan itu mengekalkan saranan BELI dengan harga sasaran (TP) sebanyak RM0.96, bersandarkan 30 kali PE FY26F sepenuhnya dicairkan.
Dalam pada itu, dua pemangkin menurut HLIB yang akan membantu memacu keuntungan Optimax ialah Tahun Pelancongan Perubatan Malaysia 2026 dan gelombang penggunaan di Johor menjelang 2027.
Tahun Pelancongan Perubatan Malaysia 2026 bakal memperkukuh kedudukan negara sebagai hab pelancongan kesihatan serantau.
Inisiatif ini dijangka menarik lebih ramai pelancong perubatan dari Asia Tenggara, China dan Timur Tengah, sekali gus meningkatkan permintaan bagi rawatan pakar mata premium yang ditawarkan oleh Optimax.
Gelombang penggunaan di Johor menjelang 2027 pula dijangka berlaku hasil limpahan ekonomi dari pembangunan pesat Iskandar Malaysia dan pertumbuhan wilayah selatan Singapura dijangka memacu perbelanjaan pengguna, termasuk dalam segmen penjagaan kesihatan dan rawatan elektif.
Optimax, yang mempunyai kehadiran kukuh di Johor Bahru, dilihat bersedia untuk meraih manfaat terus daripada pertumbuhan ini.
“Optimax kini berada pada fasa penjanaan aset (asset-milking phase) selepas beberapa tahun melabur dalam infrastruktur dan pengembangan rangkaian. Ini akan menyokong margin keuntungan yang lebih stabil dan kecekapan operasi lebih tinggi,” kata bank pelaburan itu dalam nota penyelidikan terkini.
Optimax, antara penyedia rawatan pakar mata swasta terbesar di Malaysia, kini mengendalikan 17 pusat pakar dan 8 klinik satelit di Malaysia serta Kemboja.
Sejak ditubuhkan pada tahun 1995, kumpulan ini telah berkembang menjadi penyedia penjagaan oftalmik menyeluruh dengan kepakaran dalam pembedahan katarak, pembetulan penglihatan (refractive surgeries) serta rawatan penyakit mata seperti glaukoma dan retina diabetik.
Menurut HLIB, Optimax kini menikmati pendedahan strategik kepada dua pemangkin utama yang dijangka mempercepat pertumbuhan hasil dan keuntungan kumpulan secara konsisten.
HLIB mengunjurkan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) hasil sebanyak 10% dan keuntungan bersih teras (core PATMI) sebanyak 19.8% bagi tempoh FY24 hingga FY27.
Katanya, dari sudut teknikal, saham Optimax telah menembusi garisan aliran menurun tiga tahun pada September lalu, mencapai paras tertinggi tahun setakat ini pada RM0.715 (15 Oktober), sebelum menyusut kepada RM0.64 (31 Oktober) dalam fasa pengukuhan sihat.
"Selepas tempoh penyatuan singkat, saham ini dijangka pulih ke paras rintangan corak Cup with Handle sekitar RM0.68–RM0.70. Sekiranya penembusan harga disahkan, sasaran berikutnya adalah RM0.74, RM0.775 dan RM0.81.
"Paras sokongan utama berada di RM0.62, RM0.59 dan RM0.56, dengan hentian kerugian disyorkan pada RM0.59 bagi mengurangkan risiko penurunan," katanya lagi. - DagangNews.com








