KUALA LUMPUR 7 Nov – Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75% sepanjang tahun 2026, berikutan prospek pertumbuhan ekonomi yang semakin positif dan tekanan inflasi yang kekal sederhana, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Bank pelaburan itu berkata, nada Bank Negara Malaysia (BNM) dalam Kenyataan Dasar Monetari (MPS) terbaharu menunjukkan pendirian dasar monetari yang stabil, sejajar dengan jangkaan kebanyakan penganalisis kadar faedah semalaman negara akan kekal tidak berubah bagi menyokong pertumbuhan ekonomi tanpa mencetuskan tekanan harga yang berlebihan.
"Kami menjangkakan OPR kekal pada 2.75% tahun depan, mengambil kira pertumbuhan ekonomi yang lebih baik berbanding unjuran semasa iaitu +4.2% pada 2025 (unjuran rasmi: +4.0% hingga +4.8%) dan +4.1% pada 2026 (unjuran rasmi: +4.0% hingga +4.5%).
“Kenyataan dasar monetari BNM jelas mencerminkan keyakinan bank pusat terhadap asas ekonomi domestik yang kukuh serta kestabilan harga dalam negeri,” kata bank pelaburan itu dalam nota penyelidikan hari ini.
Maybank IB berkata, unjuran ini turut disokong oleh anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga 2025 (3Q25) yang meningkat kepada +5.2% tahun ke tahun (YoY), berbanding +4.4% YoY pada separuh pertama 2025.
Lonjakan ini menandakan permintaan domestik yang berdaya tahan, dipacu oleh perbelanjaan pengguna yang kukuh serta peningkatan pelaburan swasta dan awam.
Walaupun ekonomi global kekal tidak menentu, momentum pertumbuhan dalam negeri dijangka berterusan, disokong oleh pelaksanaan langkah-langkah fiskal di bawah Bajet 2026 serta aktiviti pelaburan yang rancak dalam sektor pembuatan, digital dan infrastruktur.
Dalam masa yang sama, jelas Maybank IB, inflasi dijangka kekal sederhana dengan unjuran meningkat kepada 2.0% pada 2026 (berbanding unjuran rasmi 1.0%–2.3%) dan 1.5% pada 2025 (unjuran rasmi 1.0%–2.0%).
Katanya, kadar ini mencerminkan pengurusan kos yang berkesan hasil daripada reformasi fiskal dan struktur yang disasarkan, termasuk:
* Semakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) serta tarif elektrik Tenaga Nasional Berhad, berkuat kuasa 1 Julai 2025;
* Kenaikan upah minimum, separa berkuat kuasa pada 1 Februari 2025 dan sepenuhnya pada 1 Ogos 2025;
* Sumbangan KWSP pekerja asing, berkuat kuasa Oktober 2025;
* Pelaksanaan levi pekerja asing pelbagai peringkat, dijangka bermula 2026;
* Kenaikan cukai kerajaan tempatan dan tarif air negeri antara 2025–2026; serta
* Penyasaran semula subsidi petrol RON95, dijadualkan akhir September 2025.
"Walaupun beberapa langkah ini dijangka memberi kesan kenaikan kos secara berperingkat, BNM melihat tekanan inflasi kekal terkawal. Ini kerana pertumbuhan ekonomi masih selaras dengan potensi output negara antara +4.0% hingga +5.0%, sekaligus mengurangkan risiko inflasi akibat tarikan permintaan (demand-pull)," katanya. - DagangNews.com
KEPUTUSAN OPR dan TARIKH MESYUARAT MPC 2025-2026
21-22 Jan 2025 OPR kekal 3.00%
5-6 Mar 2025 OPR kekal 3.00%
7-8 May 2025 OPR kekal 3.00%
8-9 July 2025 OPR turun sebanyak 25bps kepada 2.75%
3-4 Sep 2025 OPR kekal 2.75%
5-6 Nov 2025 OPR kekal 2.75%
21-22 Jan 2026 Akan Diumum (TBA)
4-5 Mar 2026 TBA
6-7 May 2026 TBA
8-9 July 2026 TBA
2-3 Sep 2026 TBA
4-5 Nov 2026 TBA
Sumber Bank Negara Malaysia








