OPR 2.75% kekal hingga 2026, tiada kesan segera tarif AS kerana masih belum dimuktamadkan - CGS International | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

OPR 2.75% kekal hingga 2026, tiada kesan segera tarif AS kerana masih belum dimuktamadkan - CGS International

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 8 Sept – Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada mesyuarat September mencerminkan ketahanan potensi ekonomi Malaysia di sebalik persekitaran perdagangan global yang sangat tidak menentu.

 

Setakat ini menurut CGS International dalam analisis terbaharunya, menyatakan pertumbuhan KDNK suku kedua 2024 kekal berdaya tahan pada 4.4% tahun ke tahun, meskipun data perdagangan Mei dan Jun 2025 mencatatkan penyusutan serta penurunan dalam pengeluaran minyak dan gas.

 

Dengan eksport kembali meningkat pada Julai dan kesan penurunan yang terhad daripada pembaharuan domestik kerajaan, KDNK suku ketiga 2025 dijangka kekal menyokong pertumbuhan.

 

"Semakan dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) turut mengesahkan tarif timbal balik Malaysia-AS masih belum dimuktamadkan, sekali gus menunjukkan kesan tarif berkenaan tidak akan kelihatan dalam data perdagangan terdekat ini," kata firma penyelidikan tersebut.

 

Bank pusat mengekalkan OPR pada paras 2.75% dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) kelima tahun ini, sejajar dengan jangkaan pasaran dan tinjauan konsensus Bloomberg.

 

CGS International dalam nota terbaharunya turut menjangkakan tiada perubahan kadar dasar pada mesyuarat November 2025, malah mengekalkan unjuran akhir tahun 2025 pada 2.75% dan menjangka paras sama berterusan hingga 2026.

 

"Kenyataan MPC terkini mengekalkan nada neutral, dengan BNM menyatakan “paras lebih rendah” risiko penurunan akibat ketidaktentuan tarif, malah menekankan adanya “potensi peningkatan” sekiranya rundingan perdagangan Amerika Syarikat berjalan positif," kata firma itu lagi.

 

Di peringkat domestik, BNM mengekalkan pandangan bahawa pertumbuhan KDNK terus disokong oleh peningkatan pendapatan boleh guna, keadaan pasaran buruh yang stabil, dan pembaharuan domestik yang sedang dilaksanakan. Inflasi teras dijangka kekal sederhana, dengan bank pusat menekankan “ketiadaan tekanan permintaan yang berlebihan.”

 

Dengan pertumbuhan dan inflasi yang dijangka kekal stabil, BNM dilihat selesa mengekalkan dasar monetari sedia ada sambil terus memantau risiko luaran dan menyokong momentum ekonomi domestik. - DagangNews.com