Oppstar terima kontrak AS$2.9 juta bangunkan cip AI dari syarikat Jepun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Oppstar terima kontrak AS$2.9 juta bangunkan cip AI dari syarikat Jepun

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 1 April – Oppstar Berhad melalui anak syarikat milik penuhnya, Oppstar Microelectronics Sdn Bhd mendapat kontrak bernilai AS$2.9 juta (kira-kira RM13.34 juta) daripada sebuah syarikat teknologi dari Yokohama, Jepun. 

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Oppstar berkata ia telah menandatangani perjanjian kerja (SOW) bersama pelanggannya itu serta Silicon X Sdn Bhd yang akan menyediakan arkitektur cip dan perisian asas, manakala Oppstar bertanggungjawab membangunkan dan menyiapkan cip kecerdasan buatan (AI) yang boleh diubahsuai mengikut keperluan.

 

“Projek ini bertujuan membangunkan cip dengan prestasi tinggi dan penggunaan tenaga yang optimum, menggunakan kaedah reka bentuk canggih daripada kumpulan Oppstar. Cip tersebut akan membolehkan pemprosesan masa nyata terus pada peranti tanpa perlu dihantar ke pusat data,” katanya.

 

Syarikat Jepun yang menjadi pelanggan projek ini terkenal dengan rumusan AI di peranti, sesuai untuk aplikasi dalam bidang infrastruktur dan automasi industri.

 

Oppstar Microelectronics bertanggungjawab terhadap keseluruhan reka bentuk dan pelaksanaan cip, termasuk pengoptimuman reka bentuk dan penghantaran data akhir.

 

Bayaran daripada syarikat Jepun akan dibuat berdasarkan pencapaian tahap projek (milestone) dan projek dijangka siap dalam tempoh 20 bulan.

 

Sebarang perubahan skop projek memerlukan persetujuan bertulis dan penyelarasan harga serta jadual baharu.

 

Syarikat Jepun itu hanya dibenarkan menamatkan perjanjian selepas fasa cip siap secara ujian awal selesai, dengan notis bertulis sekurang-kurangnya tiga bulan.

 

Oppstar menjelaskan tiada risiko luar biasa dijangka dalam projek ini selain risiko operasi biasa yang boleh diuruskan berdasarkan pengalaman syarikat.

 

Lembaga pengarah Oppstar menegaskan projek ini berpotensi menjadi sumber pendapatan baharu dan memperluas kepakaran teknikal syarikat dalam pasaran kecerdasan buatan di peranti, termasuk peluang untuk menjana pendapatan berulang melalui model lesen berasaskan jumlah cip yang dihasilkan.

 

Peranan Silicon X dalam projek ini adalah menyediakan harta intelek asas serta perisian dan sokongan pembangunan untuk cip yang dibangunkan oleh Oppstar Microelectronics.

 

Kesan kewangan projek dijangka positif, menyumbang kepada pendapatan dan keuntungan sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2027. Tiada pengarah atau pemegang saham utama yang mempunyai kepentingan langsung dalam projek ini, walaupun tiga pengarah Oppstar juga pemegang saham utama Silicon X mempunyai hubungan tidak langsung. - DagangNews.com