One Gasmaster dibuka 23.5 sen pada penampilan sulung di Pasaran ACE, rendah berbanding IPO 25 sen | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

One Gasmaster dibuka 23.5 sen pada penampilan sulung di Pasaran ACE, rendah berbanding IPO 25 sen

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 27 JanOne Gasmaster Holdings Berhad memulakan dagangan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia, dengan saham syarikat berkenaan dibuka rendah pada harga 23.5 sen sesaham.


Angka berkenaan kurang sedikit daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) ditetapkan sebanyak 25 sen sesaham yang melibatkan penerbitan 77.5 juta saham baharu dan 15.5 juta saham sedia ada.


Pada loceng pembukaan, sebanyak 1.86 juta saham diniagakan di bawah nama saham OGM dan kod saham 0389, menandakan permulaan rasmi syarikat rumusan perkhidmatan itu sebagai entiti tersenarai awam.


"Hasil dana diterima melalui IPO, One Gasmaster berjaya mengumpul RM19.38 juta, yang akan digunakan bagi menyokong pelan pengembangan perniagaan dan keperluan operasi," katanya dalam satu kenyataan.


Daripada jumlah itu, 19.41% diperuntukkan untuk memperluaskan penawaran perkhidmatan termasuk penyediaan rumusan kawalan pelepasan, manakala 8.66% bagi penubuhan makmal di Damansara.


Sebanyak 25.22% pula untuk penubuhan cawangan baharu serta makmal di beberapa negeri, sementara 26.06% diperuntukkan bagi modal kerja, serta 20.65% untuk menampung perbelanjaan penyenaraian.


Pengarah Urusan One Gasmaster, Ivan Tan berkata, penyenaraian itu merupakan pencapaian penting yang menandakan fasa pertumbuhan baharu syarikat tersebut sebagai entiti tersenarai di Pasaran ACE.


“Ini mengukuhkan kredibiliti kami di mata pelanggan dan menyediakan akses modal bagi menyokong pelan pengembangan, termasuk perluasan perniagaan dan peningkatan keupayaan kalibrasi,” katanya.


Menurut beliau, rancangan pembukaan cawangan di Johor, Terengganu dan Pulau Pinang membolehkan syarikat mendekati pelanggan secara efektif, serta meningkatkan lagi kecekapan perkhidmatan.


Usaha itu tambah Tan, mengukuhkan kehadiran pasaran One Gasmaster di luar Lembah Klang, dan ketika mengulas mengenai prospek industri, beliau menjangka berlaku peningkatan tumpuan kawal selia.


Ini terutamanya ke atas aktiviti pematuhan alam sekitar yang dijangka menyokong permintaan jangka panjang bagi perkhidmatan pemantauan alam sekitar, kalibrasi dan kawalan pelepasan pencemaran.


One Gasmaster terlibat dalam penyediaan perkhidmatan pemantauan alam sekitar, pengesanan gas dan sistem paip gas, perkhidmatan kebersihan industri, serta kegiatan penyelenggaraan dan kalibrasi.


Malacca Securities Sdn Bhd dilantik oleh kumpulan tersebut untuk bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penjamin dan ejen penempatan bagi IPO syarikat tersebut. - DagangNews.com