KUALA LUMPUR 24 Feb – One Gasmaster Holdings Berhad (OGM) mencatatkan hasil sebanyak RM33.17 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, dengan keuntungan selepas cukai berjumlah RM1.93 juta.
Bagi suku keempat FY25, syarikat merekodkan hasil RM9.40 juta dan PAT RM0.57 juta. Jika dikecualikan perbelanjaan penyenaraian sekali sahaja, keuntungan FYE2025 meningkat kepada kira-kira RM3.29 juta manakala Q4FY25 pula RM0.83 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata margin keuntungan kasar syarikat kekal kukuh, masing-masing pada 31.81 peratus bagi FYE2025 dan 28.80 peratus untuk Q4FY25, mencerminkan kekuatan operasi teras syarikat.
Sebagai syarikat yang baru disenaraikan di Pasaran ACE pada 27 Januari 2026, tiada angka perbandingan bagi suku terakhir tahun sebelum ini.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ivan Tan berkata prestasi syarikat tahun lalu sedikit terjejas akibat ketidakpastian perdagangan global.
“Beberapa pelanggan industri, terutamanya dalam sektor pembuatan, minyak dan gas serta industri berat, mengambil langkah berhati-hati dalam membuat perbelanjaan modal sementara menunggu kepastian peraturan dan rantaian bekalan rentas sempadan.
“Permintaan asas masih wujud dan perbincangan serta perancangan projek kini kembali aktif. Namun, mengambil kira masa pelaksanaan projek, pendapatan yang diperolehi dijangka mula dinikmati pada separuh kedua tahun 2026,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada rancangan pengembangan, OGM sedang menambah cawangan di Johor, Terengganu dan Pulau Pinang.
Langkah ini dijangka meningkatkan keupayaan servis, memperkukuh hubungan pelanggan dan memperluas kehadiran pasaran di luar Lembah Klang.
Dalam konteks industri, Ivan Tan menekankan pematuhan persekitaran sebagai keutamaan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan berkaitan.
Sasaran pengurangan karbon di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara juga dijangka menyokong permintaan untuk sistem pemantauan alam sekitar industri.
OGM menawarkan perkhidmatan pemantauan alam sekitar, pengesanan dan pemasangan gas, kebersihan industri, penyelenggaraan serta perdagangan produk berkaitan termasuk instrumen, alat ganti dan komponen berkaitan.
Sejak penubuhannya pada 1998, syarikat telah membina reputasi sebagai penyedia perkhidmatan yang boleh dipercayai dengan sokongan selepas jualan yang mantap.- DagangNews.com








