KUALA LUMPUR 30 Okt – OMS Energy Technologies Inc melalui anak syarikat milik penuhnya di Thailand, OMS Oilfield Services meraih kontrak Rakan Perkhidmatan Teknikal oleh sebuah pengendali minyak dan gas utama di negara itu.
OMS, pengeluar sistem kepala telaga permukaan (SWS) dan paip khusus industri minyak dan gas (OCTG) berkata, kontrak itu merangkumi perkhidmatan perundingan teknikal, pengurusan pengukur (gauging) dan sokongan perkakasan.
“Penganugerahan kontrak ini mencerminkan keyakinan kukuh pelanggan terhadap kepakaran teknikal, ketelitian operasi dan keupayaan kejuruteraan OMS Thailand.
“Ketika ini, OMS Thailand memiliki dua bengkel perkhidmatan di Songkhla dan Sattahip yang masing-masing telah beroperasi lebih 20 tahun dan lebih 10 tahun,” kata OMS dalam satu kenyataan hari ini.
Pusat operasi itu dilengkapi lesen penuh untuk menyokong sektor OCTG yang menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti threading serta pembaikan dan penyelenggaraan peralatan pengeluar.
Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif OMS, How Meng Hock berkata, pusat operasi bengkel di Thailand itu adalah salah satu pusat kerja pemesinan terbesar yang dimiliki dan diuruskan sendiri dengan kawalan kualiti yang ketat, menawarkan perkhidmatan yang boleh disesuaikan mengikut keperluan pelanggan.
“Ia juga mampu menyiapkan semua proses kerja lebih cepat dengan sistem sokongan penyelenggaraan yang pantas.
“Kami berbangga dapat memperluas kerjasama dengan pemain besar dalam industri minyak dan gas Thailand, memperkukuh kehadiran kami di rantau yang berkembang pesat ini. Operasi kami di Thailand mencerminkan budaya ketepatan, inovasi dan kebolehpercayaan, dan pengiktirafan ini menjadi bukti nilai yang dibawa OMS kepada industri,” katanya.
Menurut beliau, OMS akan terus meningkatkan keupayaan teknikal dan standard perkhidmatan bagi menyokong pengendali beroperasi dengan lebih cekap dan selamat, serta memacu pertumbuhan mampan syarikat.
“Pengalaman luas dan keupayaan teknikal yang diiktiraf membolehkan OMS Thailand terus memperkukuh kedudukan kumpulan sebagai penyedia perkhidmatan dipercayai di rantau Asia Pasifik, termasuk menangani keperluan penyelenggaraan dan sambungan OCTG yang kompleks,” katanya. - DagangNews.com








