Omoda Jaecoo Malaysia pertaruh Jaecoo J5 pacu pertumbuhan selepas jualan melonjak 153% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Omoda Jaecoo Malaysia pertaruh Jaecoo J5 pacu pertumbuhan selepas jualan melonjak 153%

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 6 Mac - Omoda Jaecoo Malaysia menyasarkan pertumbuhan dua angka tahun ini, disokong pelancaran kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen B baharunya, Jaecoo J5, susulan lonjakan jualan kukuh sebanyak 153% sebelum ini.

 

Pengarah Kanan Omoda Jaecoo Malaysia, Chris Tan berkata, Jaecoo J5 yang baru dilancarkan itu dijangka menyumbang kepada pengembangan jenama berkenaan dalam segmen SUV tempatan, sekali gus mengukuhkan lagi rangkaian produknya di Malaysia.

 

“Kami tidak hanya memberi tumpuan kepada angka jualan semata-mata. Kami mahu membawa produk yang tepat untuk pasaran tempatan dan memastikan pelanggan berpuas hati,” katanya selepas majlis pelancaran SUV tersebut di sini pada Khamis.

 

Walaupun syarikat tidak mendedahkan sasaran jualan khusus, pihaknya optimis dapat mengekalkan momentum pertumbuhan kukuh pada masa hadapan.

 

Jenama itu merekodkan jualan lebih 7,040 kenderaan pada 2024, sebelum meningkat dengan ketara pada 2025 apabila penghantaran melonjak 153% tahun ke tahun kepada 17,849 unit.


 

jaeco

 

jaeco

 


Ditawarkan pada harga RM108,000 seunit, Jaecoo J5 dilengkapi Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) Tahap 2+ dan diuar-uarkan sebagai kenderaan mesra haiwan peliharaan dengan kemasan tempat duduk yang diperakui mesra haiwan, selain mempunyai ciri antibakteria serta tahan calar.

 

Model itu ditawarkan dalam empat pilihan warna iaitu Zircon Grey, Snowy White, Glacier Blue dan Canyon Black.

 

Bersempena pelancaran tersebut, Omoda Jaecoo Malaysia turut memperkenalkan pakej promosi khas yang sah dari 5 hingga 15 Mac 2026 untuk pelanggan terawal yang membeli Jaecoo J5.

 

Melalui promosi itu, pelanggan akan menerima rebat RM3,000 serta insurans tahun pertama secara percuma atau tambahan rebat RM3,000.

 

Pembeli juga akan menerima Pakej Aksesori Kereta Trio J5 bernilai RM2,000 yang merangkumi subwufer, mikrofon karaoke tanpa wayar dan lampu suluh pelbagai fungsi. - DagangNews.com