Omesti menang kontrak sehingga RM43.1 juta sedia perkhidmatan WiFi di institusi Mara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Omesti menang kontrak sehingga RM43.1 juta sedia perkhidmatan WiFi di institusi Mara

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 28 Jan – Omesti Bhd memperoleh kontrak bernilai sehingga RM43.1 juta bagi menyediakan perkhidmatan kemudahan rangkaian WiFi di institusi pendidikan di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara).

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, syarikat ICT itu berkata unit miliknya, Ohana Communications Sdn Bhd, telah dilantik sebagai penyedia perkhidmatan sejagat bagi institusi pendidikan Mara oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di bawah inisiatif Peruntukan Perkhidmatan Sejagat (USP).

 

Menurut Omesti, pelantikan tersebut merangkumi kerja-kerja pemasangan dan naik taraf kemudahan rangkaian WiFi di institusi terlibat, selain penyediaan jaminan serta sokongan teknikal untuk tempoh 44 bulan.

 

MCMC melalui inisiatif USP bertujuan merapatkan jurang digital dengan menyediakan perkhidmatan telekomunikasi dan komunikasi digital kepada kawasan yang kekurangan akses, khususnya melibatkan institusi pendidikan dan komuniti yang memerlukan.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Citaglobal Bhd turut menerima pelantikan serupa di bawah inisiatif USP, namun melibatkan penyediaan kemudahan rangkaian di institusi pengajian tinggi awam, politeknik, kolej komuniti serta institusi pendidikan di bawah Kementerian Sumber Manusia. - DagangNews.com