OM Holdings umum dividen khas susulan keluar dari syarikat usaha sama perlombongan Afrika Selatan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

OM Holdings umum dividen khas susulan keluar dari syarikat usaha sama perlombongan Afrika Selatan

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 9 Mac - OM Holdings Ltd, syarikat yang disenaraikan di Australia dan Malaysia, mengumumkan dividen khas susulan pengundurannya daripada perniagaan perlombongan mangan di Afrika Selatan.

 

Syarikat itu telah menerima hasil bersih daripada pelupusan pegangan 26% dalam Ntsimbintle Mining Proprietary Ltd berjumlah RM474.12 juta, yang diselesaikan minggu lalu, menurut OM Holdings dalam makluman di Bursa Malaysia.

 

Lembaga pengarah meluluskan dividen khas sebanyak satu sen Australia sesaham sebagai ganjaran kepada pemegang saham, dengan tarikh kelayakan ditetapkan pada 8 Mei dan pembayaran dijadualkan pada 29 Mei.


 

Ntsimbintle Mining Proprietary Ltd
Lombong mangan kendalian Ntsimbintle Mining Proprietary Ltd di Afrika Selatan.

 


Pemegang saham yang memegang saham di Bursa Malaysia akan menerima dividen bersamaan tiga sen sesaham, berdasarkan kadar pertukaran pada tarikh kelayakan.

 

Ntsimbintle Mining memiliki pegangan 50.1% dalam Tshipi é Ntle Manganese Mining, pengendali lombong Tshipi Borwa di Kalahari Manganese Field, Afrika Selatan, yang merupakan antara operasi mangan gred tinggi terbesar di dunia dari segi pengeluaran dan jumlah eksport. Lombong itu terletak di wilayah Northern Cape.

 

Mangan digunakan untuk menguatkan keluli serta sebagai komponen dalam bateri bagi peranti elektronik pengguna dan kenderaan elektrik. - DagangNews.com