Olympia terima kemudahan kredit RM30 juta daripada OSK Capital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Olympia terima kemudahan kredit RM30 juta daripada OSK Capital

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 16 Dis — Olympia Industries Berhad mengumumkan penerimaan kemudahan kredit sehingga RM30 juta daripada OSK Capital Sdn Bhd bagi menyokong keperluan pembiayaan semula serta modal kerja syarikat.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Lembaga Pengarah Olympia berkata syarikat telah menerima kemudahan tersebut pada 15 Disember 2025.

 

Menurut Olympia, sebahagian daripada kemudahan kredit itu akan digunakan bagi membiayai bayaran balik penuh berjumlah RM5 juta ke atas kemudahan kredit sedia ada yang diberikan oleh OSK Capital, melibatkan penebusan sebidang tanah pegangan bebas di bawah Geran 66942, Lot 62215, Mukim Batu, Kuala Lumpur.

 

Baki daripada kemudahan tersebut akan digunakan untuk keperluan modal kerja syarikat dan/atau tujuan lain yang dibenarkan oleh pemberi pinjaman.

 

Kemudahan kredit berkenaan akan dicagarkan, antara lain, melalui caj undang-undang pertama pihak ketiga ke atas tanah tersebut yang diwujudkan memihak kepada OSK Capital oleh RHB Trustees Bhd, selaku pemegang amanah bagi Olympia Properties Sdn Bhd.

 

Selain itu, kemudahan tersebut turut dijamin melalui debentur khusus pihak ketiga yang merangkumi caj tetap ke atas tanah berkenaan, beserta surat kuasa wakil yang membolehkan pemberi pinjaman mengurus dan berurusan dengan aset tersebut sekiranya perlu, selaras dengan terma pembiayaan.

 

Dari segi kedudukan kewangan, Olympia memberitahu nisbah penggearan kumpulan berada pada paras 45.3% berdasarkan penyata kewangan beraudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.

 

Bagaimanapun, selepas penerimaan kemudahan kredit baharu itu serta pembayaran balik kemudahan sedia ada berjumlah RM5 juta, nisbah penggearan kumpulan dijangka meningkat sebanyak 7.8 mata peratusan kepada 53.1%.

 

Olympia menjangkakan kemudahan kredit tersebut akan memberi fleksibiliti kewangan tambahan kepada kumpulan bagi menyokong operasi dan perancangan perniagaan pada masa hadapan. - DagangNews.com