OGX sasar kumpul dana RM52.5 juta melalui IPO di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

OGX sasar kumpul dana RM52.5 juta melalui IPO di Pasaran ACE

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Feb – OGX Group Berhad menyasarkan pengumpulan dana sebanyak RM52.5 juta melalui penerbitan 150 juta saham baharu dalam tawaran awam permulaannya (IPO) di Pasaran Ace pada harga RM0.35 sesaham.

 

Jumlah saham baharu ini akan mewakili 20% daripada jumlah saham syarikat selepas IPO, iaitu sebanyak 750 juta saham.

 

Daripada jumlah dana yang diperoleh, 57.14% akan digunakan untuk pengambilalihan dan pengubahsuaian fasiliti baharu, 4.76% bagi pengembangan portfolio jenama infrastruktur IT manakala 3.81% untuk memperluaskan operasi ke Malaysia Timur dan 8.57% akan digunakan untuk membayar balik pinjaman bank.

 

Selain itu sebanyak 16.19% akan diperuntukkan untuk modal kerja dan baki selebihnya bagi menampung kos berkaitan penyenaraian.

 

IPO ini turut merangkumi tawaran jualan 75 juta saham sedia ada, mewakili 10% daripada jumlah saham diterbitkan, melalui penempatan swasta kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan dan Perindustrian Malaysia (MITI).

 

Pengerusi Bukan Eksekutif OGX, Tan Ting Fong berkata pelancaran prospektus itu adalah satu permulaan baharu dalam perjalanan korporat syarikat yang telah hampir dua dekad membina kepakaran teknikal dan komitmen terhadap kecemerlangan. 

 

“Daripada pengedar bertauliah, OGX kini berkembang menjadi penyedia rumusan infrastruktur IT yang dipercayai, menawarkan penyelesaian menyeluruh dalam rangkaian, keselamatan siber, dan infrastruktur pusat data. 

 

“Penyenaraian akan memperkukuh kemampuan pelaksanaan, memperluas perkongsian strategik dan memacu pertumbuhan pendapatan mampan, dengan matlamat jelas mencipta nilai jangka panjang untuk pemegang saham,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

UOB Kay Hian (M) Sdn Bhd bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penjamin dan ejen penempatan untuk IPO ini. 

 

Ketua Pegawai Operasi UOB Kay Hian, Loo Chye Seong pula berkata OGX menunjukkan pertumbuhan kukuh dan kepimpinan dalam industri infrastruktur IT Malaysia dan pihaknya yakin visi OGX akan terus membuka lebih banyak peluang baharu pada masa akan datang.

 

Permohonan awam bagi saham IPO dibuka hari ini dan akan ditutup pada pukul 5 petang, 2 Mac 2026.

 

OGX, ditubuhkan pada 2007, kini menawarkan rumusan infrastruktur IT menyeluruh, termasuk reka bentuk dan pelaksanaan penyelesaian IT yang disesuaikan serta sokongan selepas jualan. 

 

Syarikat ini mempunyai lebih 50 jurutera IT berkemahiran tinggi dan merupakan pengedar bertauliah bagi 18 jenama utama, termasuk HPE-Aruba, Sangfor, Vertiv, Tenable, Forcepoint dan NetScout. - DagangNews.com