OCK Group ambil alih menara telekomunikasi EDOTCO di Laos | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

OCK Group ambil alih menara telekomunikasi EDOTCO di Laos

Majlis pemeteraian jual beli antara EDOTCO dan OCK di Shah Alam pada 13 November 2025.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

SHAH ALAM 13 Nov - OCK Group Berhad mengumumkan pengambilalihan 100% operasi EDOTCO di Laos melalui Perjanjian Jual Beli (SPA) yang ditandatangani hari ini.

 

Majlis menandatangani perjanjian tersebut berlangsung di Laman EDOTCO, menandakan kerjasama antara dua syarikat menara telekomunikasi serantau terkemuka yang komited untuk memacu pembangunan infrastruktur telekomunikasi di Asia Tenggara.

 

Pengambilalihan ini merupakan pencapaian penting bagi OCK dalam usaha memperkukuh kehadirannya di rantau Asia Tenggara.

 

Melalui pelaburan ini, kumpulan itu menambah lagi portfolio menara telekomunikasinya dan bersedia menangkap permintaan yang semakin meningkat terhadap infrastruktur digital dan telekomunikasi, terutamanya ekoran penggunaan rangkaian 5G yang berkembang pesat di Laos.

 

Selain itu, OCK memulakan pembinaan menara baharu di Laos dengan pelancaran awal sebanyak 30 tapak menara telekomunikasi, sebagai langkah strategik untuk memperluas kehadiran serantau serta menyokong permintaan negara itu terhadap infrastruktur rangkaian.

 

Pengarah Urusan Kumpulan OCK, Datuk Wira Sam Ooi Chin Khoon berkata, pihaknya gembira mengumumkan pengembangan syarikat ke Laos.

 

Beliau berkata, pengambilalihan ini menandakan pencapaian penting dalam perjalanan pertumbuhan serantau OCK.

 

"Dengan memanfaatkan kepakaran dan rekod prestasi terbukti, kami berhasrat meniru kejayaan kami di Laos seperti yang telah dicapai di negara jiran, sambil terus mengembangkan portfolio menara telekomunikasi kami.

 

“Sebagai sebahagian daripada aspirasi kami untuk menjadi salah satu syarikat menara telekomunikasi bebas terkemuka di Asia Tenggara, langkah ini merupakan komitmen jelas kami untuk menyokong permintaan infrastruktur rangkaian yang semakin meningkat di rantau ini, sambil membina asas pendapatan berulang yang lebih kukuh melalui penyewaan menara dan perkhidmatan terurus OCK.”

 

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Tan Yew Tong (Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan, OCK), Mohamed Adlan Ahmad Tajudin (Ketua Pegawai Eksekutif, EDOTCO Group), Gayan Koralage (Pengarah Strategi Kumpulan & Pengarah Perniagaan Malaysia, EDOTCO Group), Datuk David Low Hock Keong (Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, OCK) dan Annis Sheikh Mohamed (Ketua Pegawai Kewangan, EDOTCO Group).

 

Pengambilalihan ini memperkukuh kedudukan OCK sebagai penyedia infrastruktur telekomunikasi serantau dan mencerminkan strategi kumpulan untuk meningkatkan pendapatan berulang melalui pengembangan portfolio menara dan perkhidmatan telekomunikasi yang terurus. - DagangNews.com