KUALA LUMPUR 14 April – Ocean Vantage Holdings Bhd (OVH) memperoleh perintah Mahkamah Tinggi bagi menguatkuasakan jumlah adjudikasi sebanyak RM5.37 juta terhadap pelanggannya, Petrofac Engineering Services (Malaysia) Sdn Bhd, termasuk faedah dan kos berkaitan.
Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia, OVH berkata perintah tersebut diperoleh pada penghujung bulan lalu susulan keputusan timbang tara oleh Asian International Arbitration Centre (AIAC) pada Oktober 2025.
Menurutnya, tuntutan itu dibuat selepas anak syarikatnya menyiapkan kerja subkontrak awam di Bintulu, Sarawak yang dianugerahkan Petrofac pada 2022.
“Pada ketika itu, Petrofac telah cuba membuat tolakan bayaran dengan jumlah lain,” katanya.
Sehubungan itu, OVH berkata pihaknya kini sedang menilai tindakan penguatkuasaan yang sesuai bagi mendapatkan semula jumlah penghakiman serta melindungi kepentingan syarikat.
Berdasarkan penghakiman Mahkamah Tinggi, Petrofac diarahkan membayar kepada unit OVH, Ocean Vantage Engineering Sdn Bhd, sebanyak RM5.37 juta sebagai jumlah adjudikasi, bersama faedah 5% setahun, yuran berkaitan adjudikasi AIAC serta kos.
Sementara itu, saham OVH ditutup meningkat 0.5 sen kepada 17.5 sen semalam, menjadikan permodalan pasarannya sekitar RM75.24 juta. - DagangNews.com








