OCC sokong pelesenan platform digital, tegaskan akauntabiliti lindungi keselamatan kanak-kanak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

OCC sokong pelesenan platform digital, tegaskan akauntabiliti lindungi keselamatan kanak-kanak

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 17 Dis - Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC) di bawah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menyambut baik inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang mengklasifikasikan penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial berskala besar sebagai pemegang lesen penyedia perkhidmatan aplikasi, berkuat kuasa 1 Januari 2026.

 

OCC menyifatkan langkah berasaskan Seksyen 46A baharu Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Peruntukan Deeming) itu sebagai penting dalam memperkukuh penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025, khususnya bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak dalam ruang digital.

 

Menurut OCC, pendekatan pengawalseliaan tersebut merupakan kemajuan signifikan ke arah meningkatkan akauntabiliti platform digital yang beroperasi di Malaysia, selaras dengan tanggungjawab di bawah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC).

 

Kanak-kanak, katanya, berhak dilindungi daripada semua bentuk kemudaratan, penderaan, eksploitasi dan keganasan termasuk dalam persekitaran dalam talian, seperti yang diperuntukkan di bawah Artikel 3, 19, 34 dan 36 CRC.

 

OCC turut menegaskan, Akta Kanak-Kanak 2001 meletakkan tanggungjawab kepada semua pihak untuk melindungi kanak-kanak daripada kemudaratan fizikal, emosi dan psikologi, pengabaian, penderaan serta eksploitasi.

 

Dalam konteks digital masa kini, tanggungjawab itu merangkumi persekitaran dalam talian yang semakin menjadi medium utama kanak-kanak belajar, berkomunikasi dan bersosial.

 

Sehubungan itu, platform digital yang memudahcara interaksi berskala besar perlu memastikan perkhidmatan mereka direka bentuk, ditadbir dan dikuatkuasakan dengan cara yang selamat untuk kanak-kanak, termasuk pelaksanaan perlindungan bersesuaian mengikut umur, pencegahan akses kepada kandungan berbahaya, pengurusan risiko eksploitasi seksual dan penderaan dalam talian, serta mekanisme pelaporan dan remedi yang mudah diakses.

 

OCC menekankan kepentingan terbaik kanak-kanak, seperti termaktub di bawah Artikel 3 CRC, perlu menjadi panduan utama dalam dasar platform, reka bentuk sistem dan penguatkuasaan.

 

Dalam masa sama, peruntukan Deeming memperkukuh prinsip bahawa platform yang meraih manfaat daripada pangkalan pengguna besar di Malaysia mesti memikul tanggungjawab setara di bawah rangka kerja kawal selia negara.

 

OCC menyatakan kesediaan untuk memperkukuh kerjasama dengan MCMC, agensi kerajaan berkaitan serta penyedia perkhidmatan bagi memajukan ekosistem digital yang lebih selamat. Perlindungan kanak-kanak dalam talian, tegasnya, bukan pilihan, sebaliknya satu kewajipan undang-undang dan moral di bawah undang-undang hak asasi manusia antarabangsa serta rangka kerja perlindungan kanak-kanak domestik Malaysia. - DagangNews.com