Obesiti bukan boleh selesai dengan sekadar diet, perlu rawatan berstruktur – pakar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Obesiti bukan boleh selesai dengan sekadar diet, perlu rawatan berstruktur – pakar

Oleh TENGKU NOOR SHAMSIAH TENGKU ABDULLAH

KUALA LUMPUR 14 April - Obesiti tidak boleh dianggap sebagai masalah yang boleh diselesaikan hanya dengan diet semata-mata, sebaliknya ia perlu dirawat sebagai keadaan perubatan jangka panjang melalui pendekatan yang lebih berstruktur, kata pakar endokrin.

 

Ketua Pakar Endokrin di Hospital Pakar Damansara, Dr Mohd Shazli Draman @ Yusof berkata, banyak program penurunan berat badan memberi tumpuan kepada hasil pantas, namun gagal menangani punca sebenar serta risiko berat badan kembali meningkat.

 

“Salah satu masalah terbesar dengan kebanyakan program penurunan berat badan hari ini ialah kenaikan semula berat badan,” katanya.

 

“Pada awalnya anda mungkin menurunkan berat badan, tetapi tanpa susulan dan panduan perubatan yang betul, berat badan itu sering kembali semula.”

 

Beliau berkata, pengurusan obesiti yang berkesan memerlukan pendekatan perubatan yang tersusun serta disokong oleh pasukan penjagaan kesihatan pelbagai disiplin.

 

“Kami mempunyai pasukan lengkap untuk menguruskan pesakit — doktor, pakar diet, ahli psikologi dan pendidik jururawat,” katanya.

 

“Daripada memberi arahan dan membiarkan pesakit mengurus sendiri, pasukan ini bekerjasama membimbing mereka sepanjang perjalanan rawatan.”

 

ARTIKEL BERKAITAN: Obesiti kian kritikal: KPJ–Novo Nordisk perkenal rawatan bersepadu nasional

 

Rawatan bukan satu untuk semua

Dr Shazli menegaskan rawatan obesiti perlu disesuaikan mengikut keperluan setiap pesakit.

 

“Kita semua berbeza. Pengurusan berat badan tidak boleh bersifat satu untuk semua,” katanya.

 

Pelan rawatan biasanya dibangunkan selepas penilaian perubatan menyeluruh bagi mengenal pasti masalah kesihatan berkaitan seperti diabetes, kolesterol tinggi dan penyakit hati berlemak.

 

“Ini mungkin melibatkan ujian darah dan kadangkala ujian pengimejan supaya kita memahami risiko metabolik pesakit sebelum memulakan rawatan,” katanya.

 

Bergantung kepada keadaan pesakit, rawatan boleh merangkumi perubahan gaya hidup, intervensi diet, ubat-ubatan atau pembedahan bariatrik.

 

Walaupun pembedahan kekal sebagai pilihan penting bagi kes yang teruk, Dr Shazli berkata ramai pesakit lebih cenderung mencuba rawatan gaya hidup dan perubatan terlebih dahulu.

 

Pesakit sering lambat sedar masalah

Dr Shazli berkata ramai individu hanya menyedari mereka mempunyai masalah berkaitan obesiti apabila mendapatkan rawatan bagi penyakit lain.

 

“Kadang-kadang pesakit datang ke klinik kerana sakit lutut atau sakit belakang. Ketika itulah kami mengesan masalah berat badan dan mula merawatnya,” katanya.

 

Selepas dikenal pasti, pesakit boleh dirujuk kepada pakar yang memberi tumpuan kepada pengurusan berat badan untuk memulakan laluan rawatan yang lebih teratur.

 

Masalah semakin membimbangkan dalam kalangan kanak-kanak

Masalah obesiti di Malaysia turut semakin menjejaskan generasi muda.

 

Dr Shazli berkata lebih 54.4 peratus rakyat Malaysia mengalami berat badan berlebihan atau obesiti, manakala kira-kira 28 peratus individu bawah 18 tahun turut berada dalam kategori sama.

 

“Ini bermakna masalah ini sudah berada dalam rantaian generasi akan datang,” katanya.

 

Dr Shazli berkata individu boleh menilai risiko kesihatan mereka dengan mengukur lilitan pinggang.

 

“Bagi populasi Asia, lilitan pinggang melebihi 90 sentimeter bagi lelaki dan 80 sentimeter bagi wanita menunjukkan risiko kesihatan yang meningkat,” katanya.

 

“Ini sesuatu yang boleh diperiksa sendiri di rumah.”

 

Elak produk tidak sahih

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak bergantung kepada produk penurunan berat badan tidak sahih yang sering dipromosikan secara dalam talian.

 

“Saya tidak mahu orang ramai membeli produk dalam talian yang tidak diketahui sumbernya,” katanya.

 

“Adalah lebih baik mendapatkan nasihat perubatan yang betul dan rawatan daripada doktor bertauliah.”

 

Dr Shazli menggesa individu yang menghadapi masalah berat badan supaya tidak malu mendapatkan bantuan profesional.

 

“Jangan segan untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

 

“Anda boleh berbincang secara peribadi dengan doktor dan profesional kesihatan yang boleh membimbing anda melalui rawatan yang betul.”

 

Beliau menambah bahawa mengiktiraf obesiti sebagai penyakit kronik dan menanganinya lebih awal boleh mengurangkan risiko kesihatan jangka panjang secara ketara.  - DagangNews.com