KUALA LUMPUR 13 April - KPJ Healthcare Berhad dan Novo Nordisk Malaysia memeterai kerjasama strategik menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkukuh rawatan obesiti secara berstruktur dan dipantau secara perubatan di Malaysia.
Kerjasama itu menyokong pelaksanaan Program Metabolik & Pengurusan Berat Badan KPJ, iaitu model penjagaan berasaskan hospital yang direka untuk menyediakan rawatan pelbagai disiplin dipimpin pakar bagi pesakit obesiti dan penyakit metabolik berkaitan.
Majlis menandatangani MoU tersebut berlangsung sempena pelancaran rasmi program itu di The Weave, Aras 8, Menara KPJ hari ini, yang dihadiri profesional kesihatan dan pemain industri.
Antara yang hadir ialah Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan; Pengarah Perubatan KPJ Healthcare, Prof. Dato’ Dr Hanafiah Harunarashid, serta Pengurus Besar Novo Nordisk Malaysia, Dr Praful Chakkarwar dan Pengarah Kewangan & Operasi Bersekutu Novo Nordisk, Ahmad Rizal Che Wan.
Dalam ucapannya, Chin berkata obesiti kini merupakan penyakit kronik kompleks yang berkait rapat dengan pelbagai penyakit metabolik dan tidak berjangkit, sekali gus memerlukan pengurusan bersepadu dan jangka panjang.
“Obesiti adalah penyakit kronik yang kompleks dan berkait rapat dengan spektrum lebih luas penyakit metabolik serta tidak berjangkit, yang memerlukan pengurusan bersepadu dalam jangka panjang,” katanya.
Kerjasama perkukuh laluan rawatan bersepadu
“Melalui kerjasama ini, kami memperkukuh laluan penjagaan yang lebih tersusun dan bersepadu di seluruh hospital kami, selaras dengan Sistem Kesihatan KPJ yang menggabungkan kepakaran klinikal, sokongan kesihatan bersekutu serta intervensi berasaskan bukti dalam satu model penjagaan yang konsisten.”
Beliau berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan KPJ Healthcare dalam menyediakan penjagaan berpusatkan pesakit yang mudah diakses, mampan dan berasaskan hasil.
Di bawah kerjasama ini, kedua-dua organisasi akan bekerjasama menyediakan laluan penjagaan berstruktur yang menggabungkan konsultasi pakar, sokongan dietetik, panduan gaya hidup serta terapi perubatan yang bersesuaian secara klinikal.
Inisiatif ini dilaksanakan ketika Malaysia berdepan peningkatan beban obesiti dan kesihatan metabolik.
Data saringan kesihatan melibatkan 1.2 juta rakyat Malaysia mendapati seorang daripada dua rakyat negara ini mengalami berat badan berlebihan atau obesiti, manakala 15.6 peratus orang dewasa — kira-kira seorang daripada enam — menghidap diabetes, menurut statistik terkini Kementerian Kesihatan.
Obesiti juga dianggarkan menelan kos lebih RM64 bilion setahun kepada negara melalui perbelanjaan penjagaan kesihatan, kehilangan produktiviti dan kematian pramatang.
Program libatkan pendekatan pelbagai disiplin
Program ini menghimpunkan perkhidmatan saringan kesihatan serta profesional kesihatan bersekutu termasuk pakar dalam bidang endokrinologi, perubatan dalaman, pembedahan bariatrik, psikologi, fisioterapi, rehabilitasi, dietetik dan farmasi.
Penjagaan pesakit di bawah program ini merangkumi penilaian kesihatan awal, saringan komposisi badan, penilaian risiko metabolik, pelan rawatan diperibadikan, kaunseling tingkah laku serta penjadualan susulan, dengan tempoh rawatan lazimnya sehingga enam bulan bergantung kepada keperluan klinikal.
Pada fasa pertama, program ini akan diperkenalkan di 10 hospital iaitu:
1. KPJ Ampang Puteri Specialist Hospital
2. Damansara Specialist Hospital
3. Damansara Specialist Hospital 2
4. Ipoh Specialist Hospital
5. Johor Specialist Hospital
6. KPJ Klang Specialist Hospital
7. KPJ Penang Specialist Hospital
8. KPJ Selangor Specialist Hospital
9. Kuching Specialist Hospital
10. Tawakkal Specialist Hospital
Peluasan lanjut ke hospital-hospital lain kendalian KPJ dirancang dalam tempoh 12 bulan akan datang.
Pesakit dijangka mengakses program ini melalui laluan saringan kesihatan hospital dan rujukan dalaman.
Kerjasama ini juga akan meneroka inisiatif pendidikan klinikal serta komunikasi bertanggungjawab berkaitan pengurusan obesiti, termasuk penggunaan terapi berasaskan GLP-1 secara bersesuaian dalam persekitaran penjagaan kesihatan yang dikawal selia.
Kesedaran obesiti perlu dipertingkat
Praful Chakkarwar berkata obesiti perlu diiktiraf dan diurus sebagai penyakit kronik yang memerlukan penjagaan jangka panjang berasaskan bukti.
“Seiring peningkatan kesedaran di Malaysia, amat penting pesakit disokong melalui laluan penjagaan yang dipantau secara perubatan dengan kepakaran klinikal serta susulan yang tepat,” katanya.
Beliau menambah, kerjasama antara penyedia perkhidmatan kesihatan dan inovator perubatan amat penting dalam memajukan penjagaan holistik bagi individu yang hidup dengan obesiti, memandangkan kebanyakan pesakit turut berdepan pelbagai keadaan kesihatan yang saling berkait. - DagangNews.com








