Oasis Harvest cadang terbitan hak hingga RM7.4 juta, lancar Kopitiam konsep baharu dan teroka perniagaan pemasaran | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Oasis Harvest cadang terbitan hak hingga RM7.4 juta, lancar Kopitiam konsep baharu dan teroka perniagaan pemasaran

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 10 April - Oasis Harvest Corporation Berhad merancang mengumpul sehingga RM7.4 juta menerusi cadangan terbitan hak bersama waran percuma sebagai sebahagian daripada pelaksanaan korporat untuk menyokong pengembangan perniagaan serta mengukuhkan kedudukan kewangannya.

 

Cadangan itu melibatkan penerbitan sehingga 73.58 juta saham hak berdasarkan nisbah satu saham hak bagi setiap dua saham sedia ada, bersama sehingga 73.58 juta waran percuma boleh pisah berdasarkan satu waran bagi setiap satu saham hak yang dilanggan.

 

Menurut syarikat itu, dana yang diperoleh akan digunakan untuk melaksanakan konsep Kopitiam baharu, selain memperkukuh kunci kira-kira kumpulan dan menyokong fasa pertumbuhan seterusnya.

 

“Konsep Kopitiam ini membolehkan kami memasuki segmen makanan segera berjumlah tinggi, sekali gus memperluas capaian pengguna di luar segmen premium dan santai sedia ada,” kata Pengarah Eksekutifnya, Ch’ng Eu Vern.

 

Beliau menambah, pada masa sama, terbitan hak ini menyediakan fleksibiliti pembiayaan yang diperlukan untuk melaksanakan pelaksanaan secara berdisiplin, sambil mengukuhkan kedudukan kewangan keseluruhan.

 

Dalam masa sama, Oasis turut merancang mempelbagaikan perniagaan terasnya ke dalam sektor pemasaran, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham.

 

Langkah itu susulan cadangan pengambilalihan 80% pegangan dalam Contagious (Malaysia) Sdn Bhd, sebuah agensi pengurusan acara dan perhubungan awam yang berpengalaman dalam mengendalikan projek berskala besar termasuk pelancaran KLIA2 dan acara korporat utama.

 

Menurut Ch’ng, kepelbagaian tersebut akan memperkukuh keupayaan dalaman kumpulan dalam aspek penjenamaan, aktivasi dan penglibatan pelanggan.

 

“Ia menjadi nilai tambah strategik kepada platform F&B kami yang sedang berkembang,” katanya.

 

Dalam pada itu, cadangan korporat berkenaan turut merangkumi permohonan pengecualian daripada obligasi pengambilalihan mandatori yang mungkin timbul hasil pelaksanaan terbitan hak dan penebusan waran.

 

Perniagaan F&B kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan Oasis, disokong oleh rangkaian jenama termasuk De.Wan 1958, Café Chef Wan, Uncle Don’s dan Verona Trattoria.

 

Syarikat itu percaya pengenalan konsep Kopitiam akan membantu menembusi segmen pertengahan berjumlah tinggi, sekali gus mengimbangi portfolio sedia ada yang tertumpu kepada segmen premium dan santai.

 

Lembaga Pengarah berpandangan gabungan langkah strategik ini akan meletakkan Oasis pada kedudukan lebih kukuh dari segi kewangan dan operasi, selain membolehkannya memanfaatkan pertumbuhan ekonomi domestik yang didorong oleh perbelanjaan pengguna dan sektor pelancongan.

 

Dalam jangka panjang, Oasis menyasarkan untuk berkembang sebagai kumpulan F&B dan gaya hidup bersepadu dengan keupayaan lebih menyeluruh merangkumi operasi makanan serta perkhidmatan pemasaran. - DagangNews.com