KUALA LUMPUR 28 Okt - KNM Group Berhad (KNM) menegaskan langkah strategik untuk menyahsenaraikan syarikat daripada Bursa Malaysia merupakan sebahagian daripada pelan pemulihan menyeluruh bagi memperkukuh kedudukan kewangan dan melengkapkan penjualan Deutsche KNM GmbH (DKNM) kepada NGK Insulators Ltd. (NGK) bernilai €270 juta (RM1.4 bilion).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KNM, Ravindrasingham Balasingham, keputusan nyahsenarai bukanlah satu langkah ke belakang, sebaliknya menjadi pemangkin kepada transformasi syarikat yang telah berdepan tempoh mencabar beberapa tahun kebelakangan ini.
“Jika nyahsenarai diperlukan untuk menyempurnakan penjualan kepada NGK, menghapuskan hutang, dan memulihkan pertumbuhan — maka ia adalah langkah ke hadapan yang wajar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam KNM yang tersenarai di bawah Nota Amalan 17 (PN17), KNM memaklumkan akan dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia Securities pada 5 November 2025 susulan penolakan pelan penstrukturan semula oleh pihak bursa.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, KNM berkata, susulan keputusan itu pihaknya memutuskan untuk menarik balik rayuan terhadap keputusan nyahsenarai dan mengemukakan notis rasmi kepada Bursa Malaysia Securities berhubung perkara tersebut.
Dalam kenyataan lanjut hari ini, KNM menjelaskan langkah nyahsenarai itu wajar kerana harga dagangan saham semasa sudahpun mencerminkan nilai yang minimum, menjadikan kesan nyahsenarai lebih bersifat simbolik.
Kata kenyataan itu kekal disenaraikan di bawah status PN17 tidak membantu sebarang usaha untuk mendapatkan pembiayaan baharu.
"Status PN17 juga telah menjejaskan imej dan kredibiliti KNM di mata pelanggan serta pelabur. Oleh itu, langkah nyahsenarai membolehkan KNM bergerak dengan lebih pantas, melaksanakan projek dengan lebih berkesan, dan menumpukan perhatian kepada pemulihan keuntungan tanpa sebarang kelewatan," katanya.
Menurut kenyataan itu, sebagai sebahagian daripada pelan pemulihan, KNM telah memperoleh RM100 juta modal kerja baharu daripada pemiutang bagi menggiatkan semula operasi di Malaysia dan mengembalikan keyakinan pelanggan.
"Pemiutang turut menunjukkan komitmen padu terhadap usaha pemulihan ini dengan mengenepikan semua faedah, penalti dan caj tertunggak, menyediakan modal kerja tambahan sebanyak RM100 juta, dan bersetuju dengan penyelesaian hutang tertunda selama lima tahun tanpa kupon berjumlah lebih sedikit daripada RM200 juta," katanya.
KNM menyifatkan penjualan DKNM kepada NGK sebagai pencapaian penting dalam strategi pemulihan kumpulan.
Katanya, NGK merupakan pembeli paling berwibawa yang menawarkan nilai tertinggi, dengan komitmen untuk membayar penuh tanpa sebarang keperluan pembiayaan luar sebaik transaksi dimuktamadkan.
Kenyataan itu menambah, setelah keuntungan dan kestabilan berjaya dipulihkan, KNM — dengan asas pemegang saham yang besar kira-kira 33,000 orang — mempunyai fleksibiliti untuk disenaraikan semula pada masa depan tanpa tekanan untuk memenuhi keperluan sebaran pemegang saham seperti dalam proses IPO baharu.
"Dengan tumpuan baharu dan kekuatan kewangan yang diperbaharui, KNM kekal komited untuk melindungi nilai pemegang saham serta membina semula jenama industri Malaysia yang mampan dan menguntungkan," katanya. - DagangNews.com








