KUALA LUMPUR 6 Feb - OMESTI Berhad mengumumkan perubahan ketara dalam struktur pemegang sahamnya susulan kemunculan Nur Atisya Mohd Yunus, 38, sebagai pemegang saham terbesar syarikat itu iaitu 524.18 juta saham atau 22.57 peratus kepentingan ekuiti.
Pendedahan tersebut dibuat menerusi makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, selaras dengan Seksyen 137 Akta Syarikat 2016 berhubung keperluan pelaporan pemegangan saham besar.
Kepentingan itu diperoleh pada 29 Disember 2025 melalui Citigroup Nominees (Tempatan) Sdn Bhd bagi pihak Kenanga Investors Berhad untuk Teguh Sedaya Sdn Bhd, dan diklasifikasikan sebagai kepentingan tidak langsung atau ‘deemed interest’.
Setakat tarikh notis, Nur Atisya tidak memiliki sebarang pegangan saham secara langsung, namun keseluruhan kepentingan beliau dalam OMESTI kekal pada paras 22.57 peratus.
Perubahan Struktur Pemilikan
Kemunculan Nur Atisya sebagai pemegang saham utama mencerminkan perubahan penting dalam landskap pemilikan OMESTI, sekali gus berpotensi memberi implikasi terhadap hala tuju strategik dan tadbir urus kumpulan teknologi dan kejuruteraan itu.
OMESTI sebelum ini dikenali sebagai penyedia penyelesaian teknologi maklumat dan perkhidmatan kejuruteraan bersepadu, dengan penglibatan dalam sektor awam dan swasta termasuk projek berskala nasional.
Pengumuman ini juga berlaku seiring dengan pelantikan Nur Atisya sebagai Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif OMESTI, sekali gus mengukuhkan kedudukan beliau dalam struktur kepimpinan dan pemilikan syarikat.
Latar Belakang Korporat
Nur Atisya adalah profesional kanan dalam bidang komersial dan strategi dengan lebih 10 tahun pengalaman merentasi sektor pelabuhan dan logistik, minyak dan gas, serta perkhidmatan kewangan dalam kumpulan korporat berskala besar dan pelbagai, menurut syrikat itu kepada Bursa Malaysia.
Beliau memiliki kelulusan MBA dan berpengalaman luas dalam sokongan pembuatan keputusan di peringkat lembaga dan eksekutif, merangkumi analisis pasaran, unjuran hasil, pelaporan prestasi perusahaan serta perancangan strategik.
"Rekod pencapaiannya termasuk sumbangan kepada pertumbuhan hasil kumpulan sehingga RM50 juta, selain penglibatan aktif dalam pembentukan kerjasama strategik, transformasi perniagaan, pengurusan risiko perusahaan dan tadbir urus kualiti ISO 9001," kata pemakluman di bursa itu lagi. - DagangNews.com








