NREB, Bursa Carbon Exchange jalin kolaborasi bangunkan Sarawak Carbon Registry | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

NREB, Bursa Carbon Exchange jalin kolaborasi bangunkan Sarawak Carbon Registry

Pengawal Kualiti Alam Sekitar Sarawak, Datu Jack Liam (tiga kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Fad’l Mohamed (tiga kanan) pada majlis memeterai Memorandum Kolaborasi (MoC) pembangunan Sarawak Carbon Registry yang disaksikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kuching, Sarawak.
Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 9 Okt – Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) dan Bursa Carbon Exchange (BCX), anak syarikat milik penuh Bursa Malaysia Berhad memeterai Memorandum Kolaborasi (MoC) untuk bersama-sama meneroka pembangunan Sarawak Carbon Registry.

 

Majlis menandatangani MoC itu berlangsung sempena Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang NREB 2025 yang turut dihadiri Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang juga merupakan Pengerusi NREB.

 

Pada majlis menandatangani MoC itu, NREB diwakili Pengawal Kualiti Alam Sekitar Sarawak, Datu Jack Liam dan BCX di wakili Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Fad’l Mohamed.

 

Kerjasama ini merupakan langkah penting dalam usaha Sarawak membangunkan rangka kerja pengurusan karbon yang kukuh serta memacu pembangunan mampan. 

 

Sepanjang kerjasama dua tahun ini, kedua-dua pihak akan:

 

* Mengkaji tujuan dan objektif Sarawak Carbon Registry;


* Menganjurkan program pembangunan kapasiti dan mesyuarat teknikal bersama pakar berkaitan;


* Meneroka reka bentuk awal sistem pendaftaran karbon Sarawak; dan


* Merangka pelan tindakan berstruktur untuk pelaksanaan.

 

Pembangunan Sarawak Carbon Registry akan dilaksanakan selaras dengan Ordinan Alam Sekitar (Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Kaca) 2023, yang memberi kuasa kepada NREB untuk mengawal selia pelepasan gas rumah kaca serta menggalakkan strategi rendah karbon merentas sektor.

 

Dalam ucapannya, Jack Liam berkata, kolaborasi ini menyokong mandat NREB di bawah Ordinan Alam Sekitar tersebut, yang memperuntukkan tanggungjawab kepada NREB untuk membangunkan dan mentadbir Sarawak Carbon Registry. 

 

"Dengan kerjasama BCX yang berpengalaman dalam pengurusan pendaftaran karbon antarabangsa, Sarawak berada dalam kedudukan terbaik untuk membina ekosistem pasaran karbon yang telus dan berwibawa,” katanya.

 

Sementara itu, Fad’l berkata, Bursa Malaysia telah melancarkan BCX hampir tiga tahun lalu sebagai bursa karbon patuh syariah pertama di dunia. 

 

"Kini, BCX telah berkembang sebagai bursa pelbagai produk alam sekitar yang menawarkan kredit karbon serta sijil tenaga boleh diperbaharui (REC).

 

“Dengan kepakaran yang telah dibina dalam pasaran karbon sukarela dan pengalaman berurusan dengan pendaftaran karbon antarabangsa, Bursa Malaysia bersedia membantu Sarawak memanfaatkan aset semula jadi dan keupayaan inovasi untuk menjana kredit karbon berkualiti tinggi dan membuka nilai ekonomi baharu,” katanya.

 

Beliau menambah,Bursa Malaysia komited dalam memacu agenda kelestarian negara melalui pelbagai inisiatif pembangunan pasaran dan kerjasama dasar bersama pembuat polisi. 

 

"Kerjasama ini mengukuhkan lagi komitmen kami dalam menyokong aspirasi iklim Sarawak melalui peningkatan kapasiti dan pembangunan ekosistem pasaran karbon yang kukuh,” katanya. - DagangNews.com