Northport catat 3.8 juta TEU pada 2025, pacu Pelabuhan Klang ke-10 pelabuhan kontena tersibuk dunia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Northport catat 3.8 juta TEU pada 2025, pacu Pelabuhan Klang ke-10 pelabuhan kontena tersibuk dunia

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 28 Jan – Northport (Malaysia) Bhd (Northport), ahli Kumpulan MMC, mencatatkan pengendalian kontena tahunan tertinggi dalam sejarah sebanyak 3,804,173 TEU pada 2025, disokong pertumbuhan kukuh dalam segmen kontena dan kargo konvensional.

 

Menurut Northport dalam kenyataan hari ini, jumlah tersebut mengatasi rekod terdahulu 3,665,738 TEU yang dicapai pada 2024, sekali gus mengukuhkan peranan strategik syarikat sebagai pemacu utama keupayaan Pelabuhan Klang. 

 

Pencapaian ini turut menjadi antara faktor penting yang menyumbang kepada kejayaan Pelabuhan Klang menembusi senarai 10 pelabuhan kontena paling sibuk di dunia buat pertama kali pada 2025.

 

Selain kontena, Northport turut merekodkan pengendalian kargo konvensional tahunan tertinggi sejak penubuhannya, iaitu 12,903,714 FWT, mengatasi rekod 12,691,633 FWT pada 2024. 

 

Dari segi perbandingan tahun ke tahun, pengendalian kontena meningkat 3.8%, manakala kargo konvensional berkembang 1.7%, mencerminkan permintaan berterusan serta pelaksanaan operasi yang konsisten dan berdaya tahan.

 

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Nik Muzani Nik Abdul Aziz berkata, pencapaian pecah rekod berganda itu membuktikan keupayaan operasi dan komitmen tenaga kerja syarikat.

 

“Pencapaian prestasi pecah rekod berganda pada tahun 2025 ini merupakan bukti jelas dedikasi, disiplin dan semangat kerja berpasukan yang ditunjukkan oleh seluruh warga kerja Northport. 

 

“Walaupun beroperasi dalam persekitaran yang mencabar dan kompetitif, TeamNorthport kekal fokus terhadap kecekapan operasi serta perkhidmatan pelanggan, sekali gus membolehkan syarikat mencatat pertumbuhan berterusan dalam kedua-dua segmen,” katanya.

 

Prestasi kukuh itu turut disokong oleh rekod baharu pada peringkat bulanan. 

 

Northport mencatatkan pengendalian kontena bulanan tertinggi sebanyak 366,131 TEU pada Oktober 2025, manakala September 2025 mencatat pengendalian kargo konvensional bulanan tertinggi sejak penubuhan Northport, iaitu 1,327,883 FWT.

 

Menurut syarikat, tahun 2025 juga menyaksikan pengukuhan kedudukan strategik Northport apabila dipilih oleh Tailwind Shipping Lines sebagai Hab Serantau Intra-Asia, mencerminkan tahap keyakinan tinggi terhadap keupayaan, kesalinghubungan dan peranan Northport dalam rangkaian perkapalan serantau.

 

Dari aspek kelestarian, Northport terus memperkukuh agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

 

Pada Januari 2025, syarikat memenangi anugerah Kecemerlangan Amalan Terbaik dalam Pengurusan Kelestarian Automotif di Kereta Terbaik Malaysia (MCOTY) 2024, diikuti pengiktirafan kategori ‘Zon Rendah Karbon’ pada Anugerah Bandar Rendah Karbon 2024 pada Februari 2025.

 

Bagi menyokong operasi yang lebih lestari, Northport telah memperoleh tiga unit kenderaan elektrik Proton e.MAS 7 dan dua belas unit motosikal elektrik Blueshark R1 untuk kegunaan operasi.

 

Bersempena Hari Alam Sekitar Sedunia 2025, syarikat turut melancarkan Rangka Kerja Pengurusan Kelestarian bagi mengintegrasikan elemen ESG secara lebih berstruktur dalam operasi dan aktiviti perniagaan.

 

Di samping itu, pembangunan infrastruktur kekal menjadi tumpuan menerusi pelaksanaan berterusan projek menaik taraf Dermaga 9, bertujuan meningkatkan kapasiti terminal, kecekapan operasi serta keupayaan mengendalikan kapal bersaiz lebih besar.

 

Mengulas hala tuju ke hadapan, Nik Muzani berkata, Northport akan terus mempergiat inisiatif pemodenan dan pendigitalan.

 

“Dalam mengharungi tahun 2026, fokus syarikat adalah untuk mempergiat pelaksanaan inisiatif pemodenan dan pendigitalan merangkumi aspek infrastruktur, sistem serta pembangunan keupayaan tenaga kerja, di samping memastikan pertumbuhan operasi terus disokong oleh piawaian keselamatan yang lebih tinggi,” katanya, sambil menambah usaha berterusan itu meletakkan Northport pada kedudukan kukuh untuk kekal relevan, kompetitif dan dipercayai sebagai pintu masuk utama perdagangan Malaysia.  - DagangNews.com