KUALA LUMPUR 26 Nov – Northeast Group Berhad dijangka meneruskan momentum pertumbuhan selepas mencatat keuntungan FY25 yang melebihi jangkaan penganalisis, didorong oleh permintaan kukuh dalam sektor semikonduktor dan fotonik serta pengurusan operasi yang lebih efisien, menurut Maybank Investment Bank.
Firma penyelidikan itu juga mengekalkan saranan Beli bagi saham Northeast dengan harga sasaran RM1 berdasarkan multiple 25x EPS CY26E (-1.5SD berbanding purata 5 tahun hadapan sektor).
Maybank IB berkata, pelan pembangunan kilang 2029 dan penambahan gudang baharu dijangka membuka kapasiti tambahan untuk pertumbuhan jangka pendek.
“Northeast mencatat keuntungan bersih teras FY25 meningkat 70% kepada RM24 juta, melepasi jangkaan pihak penganalisis dan konsensus masing-masing pada 112% dan 114% daripada ramalan tahunan.
“Syarikat kekal berpegang pada strategi pertumbuhan yang disokong oleh permintaan tinggi dalam sektor semikonduktor dan fotonik, serta leverage operasi yang semakin baik.
“Northeast juga berada dalam kedudukan kewangan yang kukuh dengan tunai dan pelaburan jangka pendek berjumlah RM153.2 juta pada FY25 dan nisbah hutang bersih yang rendah,” kata Maybank IB dalam nota kajiannya.
Pendapatan Northeast meningkat 33% kepada RM120 juta, manakala margin EBIT berkembang 2.5 mata peratus kepada 25.6% dan margin keuntungan bersih teras meningkat 4.4 mata peratus kepada 19.9%.
ARTIKEL BERKAITAN: Northeast catat untung bersih RM7.1 juta pada 4QFY2025
Dalam suku keempat FY25, Northeast mencatat pendapatan RM36.3 juta, naik 15% berbanding suku sebelumnya, manakala keuntungan teras meningkat 23% kepada RM9 juta.
Prestasi itu didorong oleh campuran produk bernilai tinggi, termasuk segmen fotonik yang bermargin tinggi, walaupun kadar cukai meningkat kepada 26.7% selepas insentif sekali sahaja pada suku ketiga.
Walaupun momentum pertumbuhan kukuh, Maybank IB mengingatkan pelabur tentang risiko termasuk turun naik permintaan kitaran, ketidakpastian pesanan pelanggan, turun naik kadar pertukaran asing serta perubahan polisi perdagangan global yang berpotensi menekan keuntungan dan margin syarikat.
Dengan prestasi kukuh sepanjang FY25, Northeast dijangka terus menikmati pertumbuhan keuntungan pada FY26-FY28, menjadikan syarikat itu sebagai satu pilihan menarik dalam sektor kejuruteraan berketepatan tinggi dan fotonik di Malaysia. - DagangNews.com








