KUALA LUMPUR 19 Ogos – Ninja Van Malaysia melancarkan 44 laluan penghantaran antarabangsa baharu untuk membuka akses lebih luas kepada pemilik perniagaan di negara ini menembusi pasaran global pada kos lebih rendah.
Dengan tambahan laluan ini, Ninja Van kini menawarkan perkhidmatan ke 46 destinasi antarabangsa termasuk ke seluruh Asia Pasifik, Amerika Utara, Amerika Latin, Timur Tengah dan Eropah selain laluan sedia seperti Singapura dan Filipina.
Naib Presiden Serantau Ninja Van Rentas Sempadan, Jeremy Hong berkata, kadar penghantaran baharu ditawarkan pada lebih 50% lebih rendah berbanding kaedah konvensional, dengan caj bermula serendah RM70 serta tempoh penghantaran antara tujuh hingga 12 hari bergantung destinasi.
“Pelancaran ini bakal membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) negara mengatasi halangan utama dalam pengembangan global.
“Dunia kini bukan lagi di luar jangkauan jenama Malaysia. Dengan 44 laluan baharu ini, kami menyediakan cara praktikal dan kos efektif untuk memasuki pasaran baharu.
“Matlamat kami mudah, mahu menghapuskan halangan logistik supaya perniagaan boleh fokus pada penciptaan, inovasi dan pertumbuhan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perkhidmatan tersebut turut menampilkan beberapa ciri utama termasuk integrasi papan pemuka tunggal bagi mengurus penghantaran domestik dan antarabangsa, pemprosesan pesanan pantas, bantuan dokumentasi kastam, penghantaran pintu ke pintu, serta penjejakan masa nyata di setiap peringkat.
Ninja Van Malaysia kini mengendalikan hab logistik seluas 260,000 kaki persegi di Shah Alam, disokong oleh lebih 160 hab, 5,000 kaunter serahan dan pengambilan serta 7,000 kenderaan.
Secara keseluruhan, kumpulan ini memproses lebih dua juta bungkusan setiap hari di rantau ini dan telah membantu lebih 270,000 peniaga melakukan penghantaran antarabangsa.
Syarikat itu juga optimis, pelancaran laluan baharu itu akan menyokong pertumbuhan e-dagang Malaysia, yang dijangka berkembang 14% setahun sehingga mencecah RM36.2 bilion menjelang 2027.- DagangNews.com








