NG MERS 999 berdepan lonjakan panggilan meningkat kepada 70,000 sehari berbanding 50,000 sebelum naik taraf - TM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

NG MERS 999 berdepan lonjakan panggilan meningkat kepada 70,000 sehari berbanding 50,000 sebelum naik taraf - TM

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 20 NovTelekom Malaysia Bhd (TM) menjelaskan platform kecemasan NG MERS 999 kini berdepan lonjakan penggunaan yang ketara apabila jumlah panggilan harian meningkat hampir 40% kepada hampir 70,000 panggilan sehari, berbanding purata 50,000 panggilan sehari sebelum naik taraf.

 

Menurut TM, hanya 5% daripada panggilan tersebut melibatkan kecemasan tulen, manakala selebihnya terdiri daripada panggilan senyap dan panggilan palsu. Walaupun jumlah panggilan meningkat mendadak, jumlah insiden kecemasan sebenar kekal stabil dengan purata 3,500 laporan kecemasan dihantar setiap hari.

 

TM menjelaskan peningkatan trafik ini berlaku selepas Malaysia melaksanakan naik taraf sistem kecemasan negara dengan menggantikan platform MERS999 lama yang telah beroperasi selama 17 tahun dan telah mencapai batas teknikal.

 

NG MERS 999 diperkenalkan untuk meningkatkan kebolehcapaian, memperkukuh koordinasi antara agensi dan menyelaraskan Malaysia dengan piawaian kecemasan antarabangsa yang moden,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Syarikat itu berkata, lonjakan panggilan yang besar memberi kesan kepada prestasi sistem pada peringkat awal migrasi, menyebabkan sebahagian rakyat mengalami kelewatan tindak balas kecemasan.

 

Menurut TM, beberapa langkah segera telah diambil bagi memastikan kestabilan operasi, termasuk menambah kapasiti sistem, mengoptimumkan konfigurasi teknikal serta menempatkan sumber tambahan di pusat panggilan untuk mengurus beban panggilan yang tinggi.

 

TM turut menegaskan perkhidmatan suara 999 kekal sebagai saluran utama mendapatkan bantuan kecemasan, manakala aplikasi SaveME999 berfungsi sebagai saluran tambahan. 

 

Pengguna boleh merujuk kepada Soalan Lazim di laman sesawang https://999.gov.my untuk panduan penyediaan dan pendaftaran.

 

“Syarikat terus bekerjasama rapat dengan lima agensi kecemasan iaitu Kementerian Kesihatan, PDRM, BOMBA, Angkatan Pertahanan Awam dan APMM bagi menyelesaikan isu berbangkit dan memastikan operasi berjalan lancar,” berkata TM.

 

Dalam kenyataan itu, TM turut merayu agar orang ramai menggunakan talian kecemasan secara bertanggungjawab kerana panggilan tidak perlu dan panggilan palsu boleh menjejaskan peluang individu yang benar-benar memerlukan bantuan.

 

“TM kekal komited dalam menjaga talian kecemasan negara dan pasukan kami bekerja tanpa henti untuk memastikan setiap rakyat Malaysia dapat memperoleh bantuan dengan cepat dan boleh dipercayai, sama ada melalui perkhidmatan suara 999 atau saluran digital,” katanya. - DagangNews.com