KUALA LUMPUR 13 Nov - Nextgreen Global Berhad (NGGB) memperkukuh agenda pertanian hijau dan lestari Malaysia melalui tiga perjanjian strategik yang dimeterai oleh anak syarikat milik penuhnya, Nextgreen Fertilizer Sdn. Bhd. (NGF) dengan MARDI, Padi Global dan DOA.
Majlis menandatangani perjanjian itu diadakan di Green Technology Park (GTP) NGGB di Pekan, Pahang dan disaksikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Majlis itu juga menyaksikan pelancaran rasmi produk baja bio-organik NGGB, NexBooster dan NexCompost.
Kerjasama Penyelidikan Bersama MARDI
NGF menandatangani Memorandum Perjanjian dengan Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi projek bertajuk “Evaluation of NexBooster Fertilizer for Rice Cultivation in Malaysia”.
Kerjasama ini bertujuan mendapatkan pengesahan saintifik bagi NexBooster, yang telah menjalani ujian dalaman oleh pasukan penyelidikan & pembangunan NGGB.
Kajian akan menilai kesan NexBooster pada populasi mikroba tanah, pertumbuhan tanaman, hasil padi serta keberkesanan ekonomi di bawah keadaan penanaman Malaysia. Inisiatif ini turut menjadi langkah penting untuk menempatkan NexBooster dalam skim insentif kerajaan persekutuan bagi meningkatkan kecekapan pengeluaran padi.
Perjanjian Offtake & Pengedaran Bersama Padi Global
NGF menandatangani perjanjian offtake dan pengedaran dengan Padi Global Sdn. Bhd. bagi pembekalan sehingga 10,000 tan metrik (MT) NexBooster™️ dan 5,000 MT NexCompost setiap tahun.
Padi Global akan menjadi pengedar serantau NGF, khususnya di kawasan penanaman padi di utara Malaysia seperti Kedah, Perlis, Perak dan Pulau Pinang.
Kerjasama ini menyokong usaha negara meningkatkan hasil padi, memperbaiki kesihatan tanah dan mempromosikan penggunaan baja bio-organik yang lestari dan dihasilkan secara tempatan.
Perjanjian Offtake & Pengedaran Bersama DOA
NGF turut menandatangani perjanjian offtake dan pengedaran dengan DOA Integrated Farming Sdn. Bhd. bagi pembekalan sehingga 15,000 MT NexCompost dan 5,000 MT NexBooster setiap tahun. Produk ini akan digunakan di ladang durian dan kelapa sawit di Raub, Pahang.
Pengarah Urusan NGGB, Dato’ Lim Thiam Huat berkata, produk utama syarikat iaitu NexCompost dan NexBooster adalah baja bio-organik premium yang dihasilkan daripada buangan tandan kosong dan residu pulp kitar semula daripada proses pembuatan kertas, melalui teknologi biokonversi canggih di GTP NGGB, dengan kapasiti tahunan sebanyak 60,000 MT.
“Kerjasama ini mengukuhkan pendekatan holistik kami dalam pembangunan industri lestari dengan mengintegrasikan penyelidikan, inovasi dan komersialisasi, selaras dengan agenda ekonomi rendah karbon dan kitar semula Malaysia.
"Kami amat berbangga dapat menyokong para petani di seluruh negara dengan penyelesaian baja bio-organik lestari yang dihasilkan secara tempatan.” - DagangNews.com








